Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekalan ikan yang berkurangan sebanyak 50 peratus di bandar raya ini menyebabkan harganya naik 40 peratus.

Tinjauan di pasar basah di Pandan, dekat sini, mendapati ikan dan hasil hidupan laut yang dijual peniaga tidak sebanyak sebelum ini.

Malah beberapa lot niaga yang menjual ikan dan hasil hidupan laut turut ditutup berbanding sebelum ini.

Penjual ikan dan hasil hidupan laut yang mahu dikenali sebagai Ong berkata, bekalan ikan dan hidupan laut berkurangan 50 peratus berbanding sebelum ini menyebabkan harganya meningkat.

Katanya, antara ikan kesukaan ramai yang mengalami masalah bekalan termasuk kembung, cencaru dan selar kuning atau lolong yang kebanyakannya diperoleh pembekal dari Perak dan Kedah.

"Sotong mengalami lebihan penawaran berikutan musim sotong di Mersing ketika ini.

"Sekarang ini kembung susah nak dapat walaupun orang ramai cari. Minggu lalu, kembung masih ada dan dijual antara RM18 hingga RM20 sekilogram (kg) berbanding hanya RM14 hingga RM16 kg.

"Ikan selayang pula sekarang RM15.50 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM11 manakala cencaru pula naik ke RM11 dari RM8 hingga RM9 sekilogram.

TINJAUAN di Pasar Pandan, Johor Bharu. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TINJAUAN di Pasar Pandan, Johor Bharu. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Hampir semua ikan yang terjejas ini bekalannya diperoleh dari utara terutama Perak dan Kedah. Bekalan ikan dari Mersing pula membabitkan ikan besar yang memang mahal harganya.

"Bekalan ikan yang kurang menyebabkan harganya meningkat. Pembekal memaklumkan bekalan ikan tidak banyak kerana faktor cuaca selain kos pengangkutan yang semakin mahal, " katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, pengguna ditemui memilih untuk membeli ikan walaupun peningkatan harga berlaku berikutan harga ayam yang melonjak naik.

Pengguna, Nor Azizah Ahmad, 51, berkata, kenaikan harga ikan dan hidupan laut walaupun membebankan namun masih munasabah berbanding ayam.

"Harga ikan termasuk kembung, selar kuning dan cencaru memang naik namun saya pilih beli ikan yang murah berikutan harganya masih dapat ditawar apatah lagi harganya juga bergantung pada saiz ikan.

"Namun diakui kenaikan harga bahan makanan membebankan rakyat. Kami tiada pilihan dan terpaksa beli juga walaupun harganya mahal," katanya.

Seorang lagi pengguna, Rohaizat Mat Kasaran, 53, berkata, kenaikan harga ikan dan makanan laut disedarinya berlaku sejak Ramadan lalu.

"Bagaimanapun kenaikan harga ikan tidak mendadak seperti ayam. Ikan pun ada pelbagai jenis dan saiz,jadi pengguna boleh buat pilihan ikan mana yang sesuai dengan peruntukan keluarga.

"Berbanding ayam, nak beli separuh pun sudah RM14 apatah lagi bekalan ayam tiada sekarang. Jadi ikanlah yang jadi pilihan walaupun harganya pun sudah naik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 2:42 PM