JANICE (kanan) dan suaminya
JANICE (kanan) dan suaminya
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Jika pada kebiasaan perniagaan menjual kelengkapan barangan perkahwinan dimonopoli oleh orang Melayu, namun bisnes ini turut menarik minat suami isteri berbangsa Cina, Janice Mok dan Alvin Goh.

Mereka berkata, minat itu timbul selepas melihat hantaran perkahwinan orang Melayu yang disifatkan unik dan penuh adat dan menubuhkan syarikat menjual barangan itu, empat tahun lalu .

"Dari awal saya memang berminat untuk buat gubahan hantaran. Dari situ saya membuat kajian dan mula gubah mengikut gambar dan video yang saya nonton dan ia berkesan. Sepanjang tempoh itu, saya cukup bertuah kerana dapat melahirkan ramai kakitangan untuk memulakan perniagaan ini bersama saya dan suami. Tujuan kami adalah untuk memudahkan urusan perkahwinan bakal pengantin.

"Bagi saya, gubahan hantaran diibaratkan sebagai hadiah kepada pasangan bagi menghargai ikatan yang bakal terjalin dan mengeratkan hubungan keluargaan kedua belah pihak. Malah, perniagaan ini pun kami usahakan selepas berkahwin," kata Janice.

Menurutnya, bangsa Melayu penuh dengan adat dan pelbagai tema yang cukup menarik untuk dipersembahkan pada hari bahagia, dan mereka cukup teruja menjadi sebahagian daripada majlis ikatan dua jiwa.

"Terdapat kepelbagaian tema dalam perkahwinan Melayu dan ia cukup berbeza daripada perkahwinan bangsa Cina. Malah setiap tema akan berbeza dari segi budaya dan itu cukup mengujakan kerana terdapat tema Melayu tradisional, Jawa dan pelbagai lagi.

"Selalunya bakal pengantin akan datang dan memberi contoh tema yang diimpikan.

"Tidak ketinggalan juga yang datang meminta khidmat nasihat tema terbaik mengikut spesifikasi yang diingini," katanya.

Mereka juga akan melaksanakan idea terbaik mengikut bajet yang diberikan bakal pengantin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 5:16 PM