Arizal dan Norazizah berbaju sekolah ketika majlis perkahwinan mereka di Bukit Cherakah, Jeram, Kuala Selangor.
Arizal dan Norazizah berbaju sekolah ketika majlis perkahwinan mereka di Bukit Cherakah, Jeram, Kuala Selangor.
Asrizal Aris

 

"TIADA niat mahu lupakan tradisi, cuma mahu mencari kelainan di majlis sebelah pihak lelaki dan abadikan semula kenangan kami ketika di bangku sekolah dahulu," kata Arizal Kamarudin, 24, berhubung gambar majlis perkahwinannya memakai seragam sekolah tular di laman sosial.

Menariknya, ibu bapa, saudara mara, rakan-rakan serta tetamu yang hadir turut memakai pakaian pelajar dan guru sekolah menjadikan majlis berkenaan unik dan mendapat perhatian penduduk setempat.

Arizal berkata, dia bersama isterinya, Norazizah Sulaiman, 24, selamat dinikahkan pada 16 September dan mengadakan majlis perkahwinan seminggu kemudian di rumah pengantin perempuan mengikut adat dan tradisi Melayu. 

Menurutnya, majlis di sebelah pihak lelaki diteruskan dengan bertemakan 'kembali ke sekolah' yang diadakan di Bukit Cherakah, Jeram, Kuala Selangor, Ahad lalu.

Katanya, idea itu tercetus ketika terlihat sekolah lamanya sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja kira-kira sebulan sebelum majlis berlangsung.

"Apabila saya melihat pelajar-pelajar keluar dari pintu sekolah, saya teringatkan kenangan sewaktu mula berkenalan dengan isteri ketika di bangku sekolah dahulu dan mahu mengembalikan nostalgia itu semula.

"Saya berbincang dengan isteri, ibu bapa dan saudara, mereka tidak kisah malah mengajak beberapa rakan serta orang kampung untuk menyokong mengadakan majlis dengan tema kembali ke sekolah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, majlis itu nyata mengembalikan kenangan ketika di bangku sekolah apabila pelamin serta tempat makan dihias dengan tema persekitaran sekolah selain gimik menunggang motosikal bersama isteri diikuti rakan-rakan seperti baru pulang dari sekolah.

Kata Arizal, dia tidak sangka gambar majlisnya yang dirakam oleh penduduk kampung dan dikongsikan di laman sosial menjadi tular sehingga menerima pelbagai reaksi netizen seluruh negara.

"Pada mulanya gambar-gambar kami hanya di kongsikan di kumpulan Facebook penduduk kampung, tetapi semalam gambar kami sudah tersebar hampir seluruh kumpulan Facebook terkenal di dalam negara.

"Biarpun ramai yang memuji dan kagum, tetapi ada juga yang kecam. Kata kami tak ikut adat, ikut budaya barat dan ada juga yang perli. Tapi mulut orang, kita mana boleh tutup. 

"Walaupun kami tiada niat untuk tularkan, kami anggap kecaman itu sebagai teguran dan pengajaran serta berterima kasih kepada mereka yang memberi komen positif," katanya yang bekerja di sebuah syarikat permotoran swasta.

Menurutnya, majlis perkahwinannya berjalan lancar bagi kedua-dua belah pihak dan tiada halangan daripada saudara terdekat untuk mengadakan majlis bertemakan kembali ke sekolah. 

Gambar sekitar majlis perkahwinan Arizal dan Norazizah pada Ahad lalu, mula tular di laman sosial sejak kelmarin dan menerima lebih 10,000 perkongsian serta pelbagai reaksi daripada netizen.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 11:42 PM