Pasangan Pengantin, Samsuri Basha dan Hazirah bersama Sufri Basha dan Nurul Nadia diarak  masuk pada Majlis Perkahwinan Adat Perpatih Negeri Sembilan.
Pasangan Pengantin, Samsuri Basha dan Hazirah bersama Sufri Basha dan Nurul Nadia diarak masuk pada Majlis Perkahwinan Adat Perpatih Negeri Sembilan.
Oleh Icka S Hassan

Shah Alam: Lebih 500 tetamu terpukau menyaksikan persandingan dua beradik yang yang menaiki tandu sambil diarak ‘hulubalang’ Melayu di Seksyen 17, di sini, semalam.

Sambil diiringi paluan kompang, majlis yang berlangsung jam 12 tengah hari itu disambut meriah dengan dua pasangan mempelai diarak masuk ke rumah pengantin lelaki yang dilangsungkan mengikut Adat Perpatih.

Sufri Basha, 25, berkata, dia dan pasangan, Nurul Nadia Yusof, 25, memilih konsep persandingan Adat Perpatih bagi mempertahan dan mengekalkan budaya asal usul keluarganya dari Jempol, Negeri Sembilan.

“Setiap pengantin pasti mahukan sedikit kelainan pada majlis bersejarah mereka. Ini hari bersejarah bukan hanya kepada kami, tetapi juga bagi tetamu yang dapat menyaksikan adat perkahwinan ini dilangsungkan.

“Walaupun kini ramai yang memilih konsep moden, namun kami berbangga dan teruja apabila berpeluang merasai Adat Perpatih yang menjadi kebanggaan keturunan kami,” katanya.

Menurutnya, perkahwinan yang bertemakan Adat Perpatih itu juga satu daripada cara untuk generasi muda mengenali tradisi yang semakin hilang ditelan zaman.

Majlis dimeriahkan dengan acara khatam al-Quran, berzanji, acara mandi bunga bersama dayang dan bergotong-royong oleh Rukun Tetangga Seksyen 17.

Sementara itu, pasangan kedua, Samsuri Basha, 21, dan Hazirah Daut, 25, turut mengabadikan kenangan pada majlis perkahwinan sama.

Menurut Samsuri, dia tidak menyangka majlis persandingan itu mendapat pujian dari tetamu.

“Perasaan bercampur baur apabila melihat ada tetamu seusia datuk dan nenek menitiskan air mata melihat persandingan kami kerana ia mengimbau kembali zaman perkahwinan mereka sebelum ini.

“Namun, apa yang penting kami sekeluarga tidak mengenepikan adat, malah memperkenalkan budaya Melayu ini kepada generasi baru yang tidak pernah melihatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:21 AM