ZAID Zafran Abdul Rani, 26, dan isterinya Norhafizah Abu Hasan, 25, melangsungkan majlis perkahwinan dengan mengangkat tema Melayu Klasik era 50-an. FOTO Ihsan Fitrin Ruslee
ZAID Zafran Abdul Rani, 26, dan isterinya Norhafizah Abu Hasan, 25, melangsungkan majlis perkahwinan dengan mengangkat tema Melayu Klasik era 50-an. FOTO Ihsan Fitrin Ruslee
Noor Hidayah Tanzizi


HAJAT arwah bapanya yang mahu melihat dia bersanding dan melangsungkan majlis perkahwinan mengikut adat istiadat Melayu klasik tahun 50-an mendorong Zaid Zafran Abdul Rani, 26, dan pasangannya Norhafizah Abu Hasan, 25, memilih tema itu bagi memeriahkan majlis mereka kelmarin.

Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung di kediaman keluarga pengantin lelaki di Taman Murni, di Kampung Gajah bertema sepenuhnya gaya Melayu klasik seperti hidangan, busana, memakai tengkolok, diusung dengan tandu, makan bersila dan hiasan.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan budaya daripada Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak), Pulau Misa Melayu di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri selain permainan tradisional seperti sepak raga, congkak dan batu seremban.

Lebih unik, bukan sahaja keluarga pengantin, tetamu yang hadir juga memakai busana lengkap Melayu lama dengan memakai capal serta berselendang dan berkain batik.

Majlis perkahwinan pasangan itu juga tular di Facebook sejak semalam.

Menurut Zaid Zafran, dia memilih tema klasik itu bukan niat untuk tular atau menunjuk sebaliknya ia adalah hasrat arwah bapanya Abdul Rani Shaari, 57, yang meninggal dunia Ogos tahun lalu yang mahu dia mengadakan majlis dengan mengangkat budaya Melayu.

“Saya juga mahu mengangkat konsep klasik supaya budaya Melayu lama yang cukup unik mengikut adat, istiadat dan berbusana tidak terus ditelan zaman kerana jika bukan kita yang mengangkatnya siapa lagi.

“Kami menggunakan pelbagai barangan lama seperti tikar mengkuang, pinggang mangkuk, dulang anyaman, radio, lampu pelita, seterika lama yang dibeli baru dan dipinjamkan malah ada yang diberi terus oleh penduduk setempat.

“Ada juga barangan yang digunakan sudah berusia lebih 30 tahun dan kami menggunakan atap rumbia sebagai hiasan di keliling khemah untuk ‘menghidupkan’ suasana perkampungan Melayu klasik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, untuk memberikan kelainan mereka memberi tebu dan beg anyaman tikar sebagai cenderahati kepada tetamu yang hadir dan makanan yang disediakan juga mengikut selera tradisi kampung seperti gulai tempoyak ikan baung, ulaman dan sambal belacan, ikan keli bakar, masak lemak labu dan ubi rebus.

Sementara itu, jurugambar majlis berkenaan, Fitrin Ruslee, 29, berkata, dia teruja ketika mula-mula sampai di lokasi majlis kerana merasai suasana dan persekitaran perkampungan Melayu lama yang sebenar.

“Ini pengalaman pertama saya mengambil gambar pengantin yang mengangkat konsep Melayu klasik yang penuh dengan tradisi lama bukan sahaja melalui pemakaian, makanan dan budaya tetapi ada juga persembahan dan permainan tradisional.

“Majlis ini sangat unik malah rasa seperti kembali ke zaman dahulu kala dan penggambaran luar yang dibuat di Pasir Salak juga tidak perlu sentuhan lain kecuali menerangkan gambar sahaja untuk menampakkan gaya klasik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 5:24 PM