Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kenderaan itu merempuh kedai cendol di tepi jalan di Jalan Rumpun Makmur Kuala Krau. NSTP/IHSAN JBPM
Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kenderaan itu merempuh kedai cendol di tepi jalan di Jalan Rumpun Makmur Kuala Krau. NSTP/IHSAN JBPM
Shahrul Nizam Mohamad


LELAKI terbunuh apabila kereta Proton Wira dipandu hilang kawalan dan melanggar gerai cendol di Jalan Rumpun Makmur-Kuala Krau, Temerloh, jam 8.25 pagi, hari ini.

Mangsa, Muhamad Syazwan Yaadkop, 26, berasal dari FELDA Jengka 24, Maran, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Hashnuddin Hussin berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka bergegas ke lokasi.

"Ketika tiba di tempat kejadian mangsa ditemui tersepit di tempat duduk pemandu, anggota kita mengambil masa hampir 10 minit mengeluarkan mayat dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), di sini, untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke Kuala Krau dari FELDA Jengka 24.

Katanya, siasatan turut mendapati ketika kejadian keadaan cuaca baik dan jalan kering.

Ketika kejadian gerai cendol itu tidak beroperasi dan tiada saksi yang melihat kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 5:55 PM