VAN membawa pelajar dan kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
VAN membawa pelajar dan kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Maran: Tujuh pelajar perempuan tidak sempat ke sekolah apabila van dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Kampung Awah Jengka 19 di sini, hari ini.

Mangsa terdiri daripada tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 18, di sini, semuanya berusia 13 tahun, dilaporkan cedera dengan seorang daripadanya patah tangan dan kaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jengka Mohd Aidil Khairim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.53 pagi.

"Enam anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa terbabit kemalangan.

"Sebaik tiba di lokasi,kami mendapatipemandu van dan seorang pelajar di tempat duduk belakang tersepit manakala pelajar lain dan pemandu serta penumpang kereta sudah dikeluarkan orang ramai, "katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, semua pelajar termasuk pemandu van serta pemandu dan penumpang kereta yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 12:07 PM