DAVIES (tengah) jadi pilihan Vingada kawal benteng negara. FOTO Luqman Hakim Zubir & Rasul Azli Samad
DAVIES (tengah) jadi pilihan Vingada kawal benteng negara. FOTO Luqman Hakim Zubir & Rasul Azli Samad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan seorang pun tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang ‘melekat’ dalam senarai latihan pusat skuad kebangsaan kali ini langsung tidak mencemaskan pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada.

Sebaliknya, jurulatih berpengalaman dari Portugal itu percaya dengan tujuh pemain pertahanan yang dipanggil dalam memastikan misi meraih tiga mata berjaya dituai ketika bertemu Hong Kong dalam aksi Kumpulan B, Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019 di Stadium Hong Kong, Selasa ini.

Katanya, selepas kehilangan tonggak pertahanan tengah berpengaruh, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Rizal Ghazali yang digantung kerana menerima dua kad kuning ketika seri 1-1 dengan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka bulan lalu, Vingada menyenaraikan dua pemain muda, Matthew Davies (Pahang) dan Adam Nor Azlin (Selangor).

“Meskipun terdapat beberapa pemain Johor DT yang jauh berpengalaman berbanding Davies dan Adam, saya tetap percaya mereka berdua memiliki potensi baik untuk diketengahkan bersama pasukan kebangsaan.

“Bila lagi mahu mencuba gandingan pemain muda khususnya dari skuad bawah 22 tahun (B-22) negara? Bagi saya inilah kesempatan terbaik untuk menguji kebolehan mereka.

“Begitupun, saya tidak menafikan kebolehan pemain Johor DT. Walaupun pemain pasukan itu tiada di benteng pertahanan, tetapi mereka masih mendominasi posisi lain seperti bahagian tengah dan serangan,” katanya yang turut digelar ‘The Profesor’.

Kegagalan pemain pertahanan skuad Harimau Selatan disenaraikan menjadi topik perbualan ramai penyokong bola sepak tempatan sejak ia dikeluarkan pada 25 September lalu.

Ditunjangi sebilangan besar pemain terbaik di Malaysia, seharusnya pemain pertahanan Johor DT diberi tempat untuk bersama skuad kendalian Vingada.

Bagaimanapun, tujuh pemain dipilih termasuk Davies dan Adam selain tiga tonggak Perak iaitu Shahrom Abdul Kalam, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan serta Khairul Helmi Johari dan Fitri Omar dari pasukan Kedah.

“Mungkin ada yang mempertikaikannya kenapa saya tidak memilih S Kunanlan, Fadhli Shas atau Azrif Nasrulhaq (pemain Johor DT). Walaupun mereka juga pemain bagus, tetapi saya memilih berdasarkan prestasi semasa dengan yang terbaik akan disenaraikan,” katanya.

Skuad negara akan melapor diri di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya hari ini dan dijadualkan berlepas ke Hong Kong, Khamis ini.

Malaysia kini menghuni tangga tercorot kumpulan dengan satu mata wajib meraih tiga mata penuh untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan akhir yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 6:34 AM