ERNIE Zakri sudah sembilan tahun berada dalam industri muzik tempatan.
ERNIE Zakri sudah sembilan tahun berada dalam industri muzik tempatan.
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS sembilan tahun berada dalam industri muzik tempatan, barulah kemunculan penyanyi Ernie Zakri disedari ramai.

Bukan saja dalam kalangan peminat, tetapi juga penggiat seni dan penyanyi senior. Malah, persembahan Ernie, 26, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri sentiasa ditunggu-tunggu.

Ernie yang juga bekas juara Bintang RTM 2009 menyifatkan sambutan terhadapnya kini adalah satu penghormatan sekali gus memberikan cabaran baru untuk menampilkan persembahan terbaik.

Namun, Ernie tidak mahu mendabik dada kerana menganggap perjalanan seninya masih hijau dan masih banyak yang perlu dipelajari.

“Sejujurnya, saya terharu dan bangga apabila semakin ramai mulai menyedari kehadiran saya. Namun, saya tetap berasakan masih penyanyi baru yang perlu belajar banyak perkara.

“Saya baru sekali menyertai pertandingan besar iaitu Anugerah Juara Lagu dan masih banyak anugerah yang saya impikan dalam kerjaya. Jika mahu dimabil kira pengalaman, saya masih ketinggalan.

“Cuma, apabila ada dalam kalangan penyanyi senior yang bercakap mengenai nyanyian saya, ia sesuatu yang mengujakan. Apatah lagi sekiranya mereka terhibur menyaksikan persembahan saya,” katanya.

Disebabkan itu, peminat sentiasa menantikan magis dalam persembahan Ernie terutama lantunan vokalnya dalam setiap lagu yang dipersembahkan.

Bagaimanapun, perkara itu tidak menjadikan Ernie yang juga guru vokal berasa tertekan sebaliknya ia menjadi tanggungjawab untuknya dalam memberikan persembahan terbaik.

“Saya tak pernah rasa tertekan. Sebagai penyanyi, saya menjadikan ia tanggungjawab. Saya kena tetapkan dalam diri yang apa saja persembahan dibuat kena buat sehabis baik. Saya ingin setiap persembahan saya diingati,” katanya.

Transisi kerjaya Ernie juga dilihat lebih menarik apabila berjaya menarik perhatian kebanyakan penyanyi senior tanah air.

Selain penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang boleh dikatakan antara penggemar suara Ernie, tidak terkecuali guru vokal Datuk Syafinaz Selamat.

Menurut Ernie, Syafinaz yang juga bekas pensyarahnya ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sentiasa mengikuti perkembangannya.

“Datuk Syafinaz sangat menyukai lagu Misteri. Malah, dia terkejut apabila lagu itu tidak berjaya mara ke separuh akhir Muzik Muzik 33. Saya terkejut apabila dia bercakap mengenai perkara ini.

“Saya berfikir, dengan kesibukan kerjayanya mana mungkin dia menonton persembahan saya. Rupanya saya silap kerana dia sentiasa mengikuti perjalanan kerjaya saya begitu juga dengan bekas pelajarnya yang lain,” katanya.

Single baru tawan carta iTunes Malaysia

Selepas kejayaan lagu Misteri, Ernie kini muncul dengan single baru, Ku Bersuara ciptaan Syamel, Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham.

Lebih membanggakan Ernie apabila kurang 24 jam lagu itu dilancarkan pada 7 Disember lalu, Ku Bersuara menduduki menduduki tangga teratas carta iTunes Malaysia.

“Alhamdulillah, saya terharu dan tidak menjangka sambutan sebegini hebat untuk lagu ini. Mungkin antara faktor peminat sudah tidak sabar menunggu buah tangan terbaru daripada saya selepas Misteri.

“Malah, beberapa minggu sebelum lagu ini dilancarkan pun saya sudah dihujani pertanyaan dan mereka teruja tunggu lagu ini,” katanya.

Menurut Ernie, lagu itu menceritakan kisah peribadi dan kerjayanya sebagai penyanyi.

“Lagu ini sangat istimewa sebab ia mengenai diri sendiri. Lagu sebelum ini kisahnya daripada komposer tetapi Ku Bersuara ia idea asal saya. Malah, muzik video yang bakal dilancarkan esok (hari ini) pun berdasarkan kisah hidup saya.

“Pendek kata, lagu ini begitu dekat dengan saya. Kiranya, lebih mudah untuk saya menjiwai dan sampaikan lagu ini nanti,” katanya.

Ernie berkata, Ku Bersuara juga bagi mewakili perasaan yang dilalui sepanjang sembilan tahun ini yang kebanyakan perkara dibuat dalam kerjayanya bukan atas pilihan sendiri.

“Dulu saya susah nak bersuara. Saya hanya ikut apa yang diatur pihak tertentu. Walaupun perkara itu buat saya tidak selesa, saya kena juga ikut. Pendek kata, tidak boleh berkata tak.

“Diakui sedikit perkara itu sedikit sebanyak menggangu hingga melambat kerjaya saya. Sekarang, saya ambil pendekatan untuk buat perkara mengikut kata hati dan apa yang dirasakan terbaik. Kiranya, saya juga terbuka untuk bersuara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 8:53 AM