Poh Li  bersama ibu dan bapa angkatnya, V Pichay (kanan) dan K Krishnan. - Foto ROSMAN SHAMSUDIN
Poh Li bersama ibu dan bapa angkatnya, V Pichay (kanan) dan K Krishnan. - Foto ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


"Saya akan terus menjaga Poh Li seperti anak sendiri," kata, V Pichay, 57, yang menjaga Poh Li, 12, sejak kanak-kanak perempuan itu berusia tiga bulan selepas seorang lelaki tidak dikenali menyerahkannya sebagai anak angkat.

Menurutnya, sudah 12 tahun dia dan suami, K Krishnan, 60, menjaga Poh Li dengan sempurna tanpa membezakannya dengan sembilan anak kandung yang lain.

Katanya, Poh Li didedahkan dengan adat kebudayaan India fasih berbahasa Tamil serta Bahasa Melayu dan tidak boleh berbahasa Cina.

“Kehadiran Poh Li dalam keluarga kami banyak memberi rezeki dan semua ahli keluarga menerimanya dengan baik.

“Saya akan terus menjadi ibu dan sahabat Poh Li," katanya yang ditemui di rumahnya di Slim River hari ini.

Pichay berkata, dia berharap ibu bapa Poh Li dapat datang menjenguk Poh Li untuk menyelesaikan urusan berkaitan masa depan Poh Li.

"Kami tidak mengenali ibu bapa kandungnya dan berharap pendedahan melalui media ini antara usaha untuk mengesan mereka.

"Setakat ini belum ada sesiapa mengaku sebagai keluarga atau mengenali Poh Li dan berharap ada pihak dapat membantu menemukan Poh Li dengan keluarganya,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Poh Li, mencari ibu bapa kandungnya selepas terpisah sejak lahir pada 2005.

Mereka mempunyai maklumat mengenai ibu bapa atau keluarga Poh Li boleh menghubungi K Ravi di talian 017-2352982.

Berita berkaitan

Poh Li rindukan ibu, ayah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 1:16 PM