FOTO hiasan
FOTO hiasan
Agensi

Beijing: Demi kasih terhadap anak yang dipeliharanya sejak kecil, lelaki di China ini sanggup memalsukan ujian paterniti selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan si cilik itu bukan anak kandungnya.

Pada mulanya, Li membesarkan kanak-kanak itu yang dia percaya anak kandungnya secara sendirian selepas ibunya meninggalkan rumah, menurut siaran Jiujiang Fabu, akaun media sosial rasmi bandar Jiujiang di wilayah tenggara Jiangxi.

Li berkata, dia menjalin cinta dengan ibu kanak-kanak itu pada 2019 sebelum hilang selepas kelahirannya.

Li, mengambil ujian DNA untuk mendaftarkan anak perempuannya dalam sistem pendaftaran isi rumah berdasarkan tempat kelahiran pemegangnya, supaya dia boleh bersekolah.

Namun, disebabkan tiada ikatan perkahwinan dengan ibu kanak-kanak itu dan tidak tahu keberadaannya, Li dihalang mengambil anak itu sebagai anak angkatnya.

Ini kerana undang-undang China memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya seorang ibu bapa kandung untuk menjadi anak angkat dan lelaki bujang sekurang-kurangnya 40 tahun lebih tua daripada kanak-kanak itu.

Akibat tiada cara lain, Li memalsukan keputusan ujian paterniti sebelum mendaftarkan anak itu sebagai anak perempuannya.

Tetapi apabila dia membawa dokumen yang diubah suai itu ke pejabat polis, pegawai pendaftaran isi rumah mengesan ada tidak kena. Akibatnya, dia dipenjarakan lima hari.

Kes itu mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial dengan ramai antara netizen simpati dengan nasib Li.

"Dia tahu itu bukan anak perempuannya tetapi masih mahu memberinya rumah, walaupun dengan melanggar undang-undang," kata seorang netizen di platform media sosial Weibo.

"Dia jauh lebih bagus daripada ibu bapa kandung yang tidak bertanggungjawab itu," kata seorang lagi netizen.

Segelintir pula, menyokong tindakan polis mengambil tindakan undang-undang terhadap tindakan salah lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 2:55 PM