Norizuan Shamsuddin

BUDAK lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia di klinik di Jalan USJ 1/1a, Subang Jaya, disyaki didera ibu dan bapanya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengurusan klinik terbabit yang memaklumkan terdapat kanak-kanak meninggal dunia dengan kesan lebam di muka dan badan, pada jam 3.40 petang.

Katanya, apabila tiba dilokasi anggota mendapati mangsa terbaring di atas katil di klinik terbabit.

"Siasatan mendapati kanak-kanak terbabit di hantar oleh ibu dan bapanya untuk mendapatkan rawatan pada jam 3 petang dan selang tiga minit selepas itu mangsa disahkan meninggal oleh doktor bertugas.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di muka, punggung, tangan dan kaki mangsa dipercayai didera.

"Susulan itu, mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan polis menahan ibu dan bapanya untuk siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 33 dan 36 tahun terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah, pecah rumah serta penipuan.

"Suspek wanita juga turut dikehendaki berhubung laporan di Kuantan bagi siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua suspek terbabit direman selama tujuh hari sehingga 2 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 6:16 PM