GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera suami isteri yang juga ibu bapa saudaranya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini, kelmarin.

Mangsa yang berusia setahun enam bulan itu dikatakan tidak sedarkan diri di kediaman terbabit sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam oleh bapa saudaranya berusia 20-an.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika rawatan dan hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit akan dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja dan dijaga oleh pasangan suami isteri itu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan bunuh.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur penderaan ke atas kanak-kanak terbabit.

"Susulan itu kita membuat dua tangkapan iaitu sepasang suami isteri, dengan mereka akan direman hari ini," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 9:53 AM