GARETH BALE
GARETH BALE
AFP

GIRONA, sepanyol: Gareth Bale hanya memerlukan dua minit untuk mencetus impak gol – sebagai tanda kemunculan semula selepas mengalami kecederaan, ketika Real Madrid yang beraksi 10 pemain merakam kemenangan 4-2 ke atas Espanyol, awal pagi tadi. 

Bale tersisih sejak 3 Januari lalu akibat kecederaan betis, namun berjaya memberikan sumbangan besar apabila dibawa masuk daripada bangku simpanan di Stadium RCDE, yang menyaksikan Karim Benzema berjaya mengekalkan rentak dengan meledak dua gol.

Sergio Ramos juga menemui sasaran gol menerusi tandukan, sebelum Leo Baptistao merapatkan jurang buat Espanyol. Kehadiran Bale dan Benzema dilihat banyak membantu Madrid kembali menemui rentak mereka, namun Raphael Varane merencatkan perancangan pasukan apabila dibuang pada ketika saingan berbaki 18 minit. 

Madrid yang meraih kemenangan kelima daripada enam perlawanan terakhir, masih jauh ketinggalan (10 mata) di belakang pendahulu La Liga, Barcelona yang sebelum ini menang 2-0 ke atas Girona – yang menyaksikan Lionel Messi meledak gol menerusi bola lambung yang menarik. 

Walaupun gagal mengurangkan perbezaan mata, namun Madrid berjaya mengekalkan retak mereka yang dianggap sebagai persiapan terbaik menjelang pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Benzema kini sudah meledak 15 gol, dan pagi tadi, dia meledak gol mudah seawal minit ketiga selepas mengutip bola muntah percubaan Luka Modric.

Ramos pula menjaringkan gol ke-10, selaku penjaring gol kedua terbanyak pasukan dan sekali lagi menjaringkan gol menerusi tandukan sebelum Baptistao memberikan ruang kepada Espanyol untuk bangkit. 

Namun, Benzema menambah gol ketiga, sebelum Bale yang menggantikan Vinicius Junior menjaringkan gol keempat Madrid dan kedudukan itu seakan-akan kekal sehingga tamat perlawanan.  

Apabila Varane dibuang padang kerana menjatuhkan Pablo Piatti, Rosales berjaya merapatkan jurang apabila melakukan sepakan voli melepasi penjaga gawang, Thibaut Courtois – ketika saingan berbaki sembilan minit..

Madrid sebelum ini bergelut apabila Benzema dilanda kecederaan dan Bale pula berdepan masalah kecergasan, dan kini mereka dilihat kembali menemui rentak sebenar untuk meneruskan saingan di Liga Juara-Juara serta La Liga.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 10:28 AM