AKSI Alzate (tengah) menjaringkan gol pemusnah Liverpool. FOTO AFP
AKSI Alzate (tengah) menjaringkan gol pemusnah Liverpool. FOTO AFP
Agensi

Liverpool: Brighton melonjak 10 mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana selepas mengejutkan Liverpool di Anfield awal pagi tadi.

Jaringan Steven Alzate memberikan kemenangan 1-0 buat Seagulls yang kini tidak tewas dalam empat aksi liga.

The Reds yang tujuh mata di belakang pendahulu Manchester City tidak menang di tempat sendiri sejak 16 Disember lalu dan gagal menjaringkan gol di Anfield dalam tiga perlawanan berturut-turut kali pertama sejak Oktober 1984.

Selepas 68 perlawanan tanpa kalah di tempat sendiri, skuad Jurgen Klopp kini tewas dua kali berturut-turut di kubu keramat mereka.

Dan Burn hampir meletakkan pelawat di depan pada babak pertama namun percubaannya melepasi palang gol tetapi pemain pertahanan itu menebus kesilapannya apabila menjadi perancang jaringan kemenangan.

Tandukannya di depan gawang disambut dengan tolakan mudah Alzate yang gagal diselamatkan penjaga gol, Caoimhin Kelleher.

Kemenangan itu melonjakkan Brighton ke tangga ke-15 liga manakala Liverpool jatuh ke tangga keempat selepas Leicester City menang di Fulham.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:59 AM