GAYA Gakpo (kanan) meraikan gol kedua Liverpool di Anfield. FOTO AFP
GAYA Gakpo (kanan) meraikan gol kedua Liverpool di Anfield. FOTO AFP
Reuters

Liverpool: Curtis Jones dan Cody Gakpo menjaringkan gol dalam tempoh tiga minit membolehkan Liverpool bangkit menewaskan Fulham 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris di Anfield, awal pagi tadi.

Fulham mendahului babak pertama menerusi Willian dan bertahan dengan baik sehinggalah minit ke-68 apabila Jones dan Gakpo meledak dua jaringan pantas.

"Ia berkaitan mentaliti dalam kumpulan ini, kelab dan bandar. Hanya perlu teruskan tidak kira apa berlaku dan kami sekali lagi tunjukkan hari ini," kata Gakpo kepada Sky Sports. "Jika anda ada mentaliti itu banyak perkara boleh berlaku."

Fulham hampir mencetuskan kekalahan pertama Liverpool di tempat sendiri dalam semua kejohanan musim ini selepas Willian menjaringkan gol minit ke-19 menerusi rembatan di celah kaki penjaga gol Caoimhin Kelleher.

Juara sembilan kali Piala Liga itu yang lebih mendominasi permainan akhirnya menembusi pertahanan Fulham apabila rembatan Jones daripada jarak 25 meter terkena Tosin Adarabioyo sebelum menerjah gawang.

Pemain gantian Gakpo, yang menjaringkan empat gol dalam aksi Piala Liga untuk Liverpool menolak bola masuk dari jarak dekat selepas mendapat hantaran Darwin Nunez sekali gus membolehkan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri musim ini dengan 14 kemenangan dan dua seri.

"Pada babak pertama ia sukar. Kami menguasai bola tapi gagal menjaringkan gol dan selepas rehat kami menukar keputusan," kata Jones kepada Sky Sports. "Penyokong tinggalkan stadium dengan senyuman, jadi saya sangat gembira."

Skuad Jurgen Klopp mencipta 21 percubaan berbanding enam untuk Fulham dan kemasukan Gakpo dan Nunez pada babak kedua terbukti berkesan.

"(Jones) mendapat gol sangat penting untuk kami kembali dalam permainan dan selepas itu saya rasa kami benar-benar mendominasi, bukan sahaja penguasaan tetapi mencipta peluang yang akhirnya mendapat gol kemenangan," kata Gakpo," kata Gakpo.

"Saya suka bermain dengan mereka. Kami tunjukkan mentaliti yang bagus tetapi kami perlu teruskan kerana ia baru peringkat pertama perlawanan ini."

Liverpool beraksi tanpa bintang sensasi Mohamed Salah, penjaring terbanyak bersama Liga Perdana Inggeris musim ini yang menyertai Mesir menghadapi Piala Negara-Negara Afrika dan Trent Alexander-Arnold yang mengalami kecederaan lutut ketika menentang Arsenal dalam saingan pusingan ketiga Piala FA.

Liverpool berkunjung ke Craven Cottage untuk aksi peringkat kedua separuh akhir pada 24 Januari. Chelsea tewas mengejut 0-1 di tangan Middlesbrough dalam satu lagi aksi peringkat pertama semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 7:24 AM