ROBERTSON akui Liverpool tidak berada dalam pemburuan kejuaraan. FOTO Agensi
ROBERTSON akui Liverpool tidak berada dalam pemburuan kejuaraan. FOTO Agensi
Agensi

London: Kejayaan Brighton menewaskan juara bertahan Liga Perdana, Liverpool di Anfield menyebabkan pertahanan Reds, Andy Robertson mengakui mereka tidak lagi dalam 'pemburuan kejuaraan'.

Brighton meraih kemenangan pertama di Anfield selepas 39 tahun menerusi gol tunggal Steven Alzate pada separuh masa kedua sekali gus menyaksikan Reds ketinggalan tujuh mata berbanding pendahulu liga, Manchester City.

Selepas melalui 68 perlawanan tanpa tewas di halaman sendiri, skuad bimbingan Jurgen Klopp sudah mengalami kekalahan sebanyak dua kali hanya dalam tempoh seminggu.

Robertson, 26, berkata: "Ketika ini kami tidak berada dalam pemburuan kejuaraan. Kami ketinggalan tujuh mata dan City masih berkelebihan satu perlawanan.

"Saya yakin mereka (City) juga berfikiran sama jika ketinggalan 10 mata di belakang. Kami perlu bangkit sepertimana Liverpool yang dikenali ramai.

"Kami masih lagi pasukan yang bagus. Kami tidaklah menjadi pasukan teruk hanya dalam tempoh singkat.

"Dengan rekod tanpa kalah sebelum ini kami hanya tewas dua kali. Jika anda tidak beraksi dengan baik, maka anda tidak akan memperolehi keputusan yang dimahukan.

"Kami perlu mencari jalan untuk mendapatkan keputusan yang bagus terutama di tempat sendiri."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 11:00 PM