AKSI  McGregor menentang Poirier pada 2014. FOTO Agensi
AKSI McGregor menentang Poirier pada 2014. FOTO Agensi
Agensi

London: Conor McGregor berkata, pertarungan kedua menentang Dustin Poirier hujung minggu ini adalah mudah tetapi menegaskan pertarungan ulangan menentang Khabib Nurmagomedov pasti jauh lebih mudah.

McGregor menewaskan Poirier dalam tempoh di bawah dua minit pada aksi featherweight 2014 dan menjelang pertarungan UFC 257 di Fight Island, jaguh Ireland itu meramalkan KO 60 saat.

Menurutnya kepada TSN: "Saya beritahu anda, pertarungan ulangan pada Ahad ini adalah mudah tetapi ia bukanlah yang paling mudah.

"Apabila saya dapat menentang semula Khabib, ia akan menjadi sangat mudah, saya amat yakin. Jika dia mahu terus melarikan diri, ia bukanlah masalah, saya akan menewaskan yang lain-lain."

McGregor, 32, dan Poirier, 31, bertarung dengan mengetahui pemenang mampu menarik Khabib keluar daripada persaraan.

Bintang berusia 32 tahun itu menggantung sarung tangan pada Oktober lalu selepas bertarung kali pertama tanpa bapanya Abdulmanap yang meninggal dunia pada usia 57 tahun akibat komplikasi koronavirus.

Tetapi Khabib mendedahkan mereka kerap merancang untuk menjadikan rekod 30-0 sebelum bersara dan dengan hanya satu lagi kemenangan, Presiden UFC Dana White bercakap kepada Khabib di Fight Island mengenai kemunculan terakhir.

Khabib pula mendedahkan dia akan hanya keluar daripada persaraan jika pencabar lightweight lain mampu menarik minatnya bertarung semula.

Jika Khabib bercadang kembali beraksi atau melepaskan tali pinggang, McGregor muncul pencabar utama yang mengidam merampas gelaran miliknya.

McGregor turut mendakwa dia daripada planet berbeza berbanding pencabar lain daripada divisyen sama seperti Tony Ferguson dan Justin Gaethje.

Katanya: "(Poirier) menewaskan Justin, tewaskan Dan Hooker, dan Chandler. Dia datang daripada liga lebih rendah dan belum diuji di UFC, jadi kita akan tengok nanti.

"Saya dari angkasa, saya bukan dari sini. Saya dari planet berbeza dengan skil berbeza. Saya tak sabar tunjukkannya dalam pertarungan pagi Ahad ini di Abu Dhabi.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:40 PM