ALLEGRI (kiri) mahu anak buah fokus jumpa Valencia. FOTO/AGENSI
ALLEGRI (kiri) mahu anak buah fokus jumpa Valencia. FOTO/AGENSI
AFP

TURIN, Itali: Juventus tidak boleh mengulangi kesilapan sama seperti ketika berdepan Manchester United, apabila mereka melayan kunjungan Valencia dalam saingan Liga Juara-Juara, tegas pengendali pasukan, Massimiliano Allegri.

Juara Itali itu berdepan lawan dari Sepanyol dalam Kumpulan H, awal pagi esok dan jika seri di laman sendiri, ia sudah memadai untuk Juventus layak ke peringkat 16 terbaik.

Lawan mereka tumbang 0-2 dalam pertembungan pusingan pertma di Valencia - yang menyaksikan Cristiano Ronaldo dibuang padang selepas perlawanan berlangsung lebih 30 minit.

Namun, Allegri menegaskan, Valencia pasti akan tampil dengan pendekatan berbeza dan mampu merosakkan impian mereka untuk menjuarai semua kejohanan musim ini, termasuk gelaran Liga Juara-Juara pertama sejak 1995.

“Dalam saingan Liga Juara-Juara, anda perlu melangkah satu demi satu. Kami akan menempuh laluan sukar esok dan cuba untuk berada di tangga teratas kumpulan,” kata Allegri.

“Kami berdepan pasukan yang cuma kalah sekali dalam 10 perlawanan terakhir mereka.

“Kami mesti berhati-hati dan tidak boleh lalai, seperti yang berlaku pada 10 minit terakhir menentang Mancheseter United,” katanya yang kecewa apabila lawan meledak dua gol dalam tempoh lima minit sebelum menang 2-1 di Turin.

“Perkara seperti itu memang berlaku, tetapi kami tidak akan mengulangi kesilapan sama. Saya tidak bimbang namun, pemain mesti menghormati Valencia. Hanya satu perkara yang lebih penting, - kami mesti menang perlawanan ini.,

Juventus mendahului Kumpulan H dengan sembilan mata, selepas empat perlawanan, manakala United ketinggalan dua mata dan Valencia mengumpul lima mata. Young Boys pula sudah tersingkir daripada perebutan ke peringkat kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 9:43 AM