SALAH (kanan) ketika menghadiri majlis perkahwinan adiknya. FOTO Agensi
SALAH (kanan) ketika menghadiri majlis perkahwinan adiknya. FOTO Agensi
AFP

London: Jurgen Klopp menegaskan barisan pemainnya 'sangat berdisiplin' terhadap peraturan koronavirus di sebalik Mohamed Salah didapati positif selepas menghadiri majlis perkahwinan adiknya di Mesir.

Salah dilihat menari pada majlis itu tanpa memakai penutup hidung dan muka ketika pulang ke negaranya sepanjang tempoh rehat antarabangsa.

Klopp mengesahkan penjaring terbanyak Liverpool itu tidak mengalami sebarang simptom dan mungkin akan kembali ke England hari ini tetapi Salah akan terlepas beraksi bertemu Leicester pada saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi Isnin.

"Dia mungkin akan kembali hari ini, itu yang saya dengar. Kami sentiasa berhubung dengannya sepanjang masa.

"Buat masa ini dia berada dalam keadaan yang baik. Tidak mempunyai sebarang simptom," kata Klopp.

Klopp menambah beliau perlu menahan keinginan untuk menghadiri majlis hari jadi ketika pulang ke Jerman pada musim panas lalu dan memahami mengapa Salah perlu menghadiri majlis perkahwinan itu.

"Kadang-kadang anda berdepan situasi berbeza. Majlis perkahwinan seorang adik sememangnya amat istimewa.

"Apa yang saya boleh katakan mengenai barisan pemain saya ialah mereka sangat berdisiplin. Pemain bola sepak secara umumnya sangat berdisiplin.

"Diakui terdapat beberapa kes positif Covid-19 tetapi mereka mengetahui situasi sebenarnya," katanya.

Ketiadaan Salah memberi tamparan kepada Klopp menjelang pertemuan dengan Leicester yang kini mendahului liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 8:30 AM