HM Digital

Segamat: Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan Segamat dimasukkan ke dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai langkah meningkatkan pembangunan ekonominya.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diharap membuka era baharu dalam pembangunan ekonomi Segamat dan memberi manfaat besar kepada kira-kira 500,000 penduduknya.

“Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam selalu bisik kepada saya alangkah baiknya Segamat dimasukkan ke dalam kawasan ECER kerana kawasan ini ada hubung kait dengan Mersing dan Rompin yang sememangnya diletakkan di dalam wilayah ekonomi berkenaan.

“Saya juga dimaklumkan banyak peneroka FELDA dari Mersing dan Rompin membeli-belah di Segamat.

“Oleh kerana kita memang nak bangunkan ekonomi di sini, maka saya isytiharkan Segamat dimasukkan dalam ECER, sebagai kawasan pertumbuhan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di Jalan Kolam Air di sini, semalam.

NAJIB berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di Jalan Kolam Air. FOTO Asyraf Hamzah
NAJIB berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di Jalan Kolam Air. FOTO Asyraf Hamzah

Hadir sama, Mohamed Khaled; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan.

Najib turut mengumumkan, pembangunan semula Pelabuhan Darat Segamat (Segamat Inland Port) dengan kos RM20 juta.

Katanya, ia sebagai langkah membangunkan pelabuhan berkenaan secara lebih bersepadu dan holistik.

“Kita harap langkah meletakkan Segamat dalam ECER dan membangunkan semula Pelabuhan Darat Segamat lebih banyak pelaburan akan memasuki kawasan ini sekali gus memanfaatkan penduduk tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 9:04 AM