LEPUH pada tangan, kaki dan mulut akan sembuh sendiri dalam 10 hari.
LEPUH pada tangan, kaki dan mulut akan sembuh sendiri dalam 10 hari.
Hartini Mohd Nawi


Penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) mungkin nampak teruk dengan lepuh sana sini tetapi sebenarnya ia adalah penyakit yang tidak serius. Pesakit akan sembuh dengan sendirinya dalam jangka waktu tujuh hingga 10 hari.

Jika anak anda menunjukkan simptom HFMD, jangan panik kerana penyakit ini bersifat 'self-limiting.'

Pakar Pediatrik Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Dr Azhar Napis tampil berkongsi fakta asas HFMD. Ia disebabkan oleh virus biasanya daripada kumpulan coxsackie enterovirus terutamanya virus coxsakcie A16 yang menyebabkan lepuh pada tangan dan kaki, dalam mulut serta di kawasan yang dipakai lampin.

"HFMD banyak menjangkiti kanak-kanak di bawah usia 10 tahun. Bagaimanapun, ia juga boleh menimpa kanak-kanak yang lebih 'tua,' malahan juga orang dewasa.

"Ia menular melalui sentuhan langsung dengan cecair dari kulit yang melepuh, hidung, dan cecair tekak termasuk air liur, kahak atau hingus, titisan bersin dan batuk serta najis. Kulit melepuh disebabkan HFMD boleh berjangkit selagi ia belum kering dan tidak mengandungi cecair di dalamnya.

"Jangan cucuk lepuh pada badan anak anda kerana cecair di dalamnya boleh menjangkiti orang lain," katanya.

Katanya, seseorang itu biasanya dijangkiti HFMD dalam tempoh tujuh hingga 10 hari. Virus itu juga boleh berada di dalam najis selama beberapa minggu selepas lepuh pada kulit hilang.

"Justeru, aspek kebersihan sangat penting untuk mengelakkan penularan kepada orang lain walaupun pesakit sudah sihat.

"Antara simptom penyakit HFMD termasuklah demam, sakit tekak, kehadiran luka kecil seperti lepuh dalam mulut, tepi lidah, tapak tangan, jari, tapak kaki dan kawasan yang dipakai lampin.

Pesakit kanak-kanak biasanya akan meragam, letih dan tidak berselera makan. Jika kanak-kanak yang menghidap HFMD mengalami sakit kepala yang teruk, demam berterusan atau gejala lain yang membimbangkan, segera dapatkan nasihat doktor," katanya.

Pada masa sama, Dr Azhar turut berkongsi beberapa langkah pencegahan HFMD.

Antaranya:

1. Pastikan untuk mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas menyentuh pesakit HFMD.

2. Basuh pakaian atau mainan yang mungkin terkena virus itu dengan bersih.

3. Bersin dengan cara menutup mulut menggunakan lengan.

4. Jangan berkongsi peralatan makanan dan minuman

5. Elakkan berkongsi barangan kebersihan diri seperti tuala, sabun, berus gigi dan pakaian.

6. Pastikan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak menghadiri sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak sehingga sembuh. Maklumkan keadaan anak kepada pihak sekolah atau pusat jagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 6:30 AM