Ling Tian Soon
Ling Tian Soon
Omar Ahmad


Johor Bahru: Pusat penjagaan kanak-kanak di negeri ini diminta meningkatkan langkah berjaga-jaga susulan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) naik 1.3 kali ganda pada minggu epidemiologi ke 22 berbanding sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon berkata secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di negeri ini menunjukkan sebanyak 1,656 kes dan Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 607 kes.

Diikuti Tangkak (204 kes), Kota Tinggi (167 kes), Batu Pahat (144 kes), Kluang (136 kes), Segamat (121 kes), Pontian (104 kes), Kulai (101 kes), Muar (67 kes) dan Mersing (lima kes).

"Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 1,293 kes, diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu sebanyak 202 kes, dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga tempoh itu sebanyak lima wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri Johor. Lokasi penularan membabitkan tadika 26 wabak, taska (enam), pusat jagaan harian (lima), prasekolah (tiga), rumah persendirian (dua) dan sekolah rendah (satu)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Tian Soon, HFMD disebabkan Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71) yang merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.

"Memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menegaskan semua pengusaha berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 1:26 PM