DAPATKAN rawatan doktor jika anak mereka mengalami demam.
DAPATKAN rawatan doktor jika anak mereka mengalami demam.
ANTARA ruam merah yang tumbuh di tapak kaki dan tangan sebelum muncul di seluruh badan.
ANTARA ruam merah yang tumbuh di tapak kaki dan tangan sebelum muncul di seluruh badan.
RUAM merah di tapak tangan.
RUAM merah di tapak tangan.
AMALAN mencuci tangan terutama selepas menggunakan tandas membantu mencegah HFMD.
AMALAN mencuci tangan terutama selepas menggunakan tandas membantu mencegah HFMD.
Hajahfarhana Tarmudi


Bermula dengan demam, diikuti kehadiran bintik merah yang tumbuh di bahagian siku, lutut dan kawasan lampin.

Apabila dilihat lebih dekat, ada juga bintik merah yang kelihatan di tapak tangan dan tapak kaki.

Lama-kelamaan ia menjadi banyak dan turut tumbuh di tepi bibir serta seluruh badan hingga menyebabkan kegatalan.

Bermula dengan bintik biasa, ia menjadi lebih besar dan berisi air atau melepuh. Lebih memeritkan dan menyebabkan ketidakselesaan si kecil apabila mulut turut ditumbuhi ulser, bukan satu tetapi banyak.

Disebabkan sakit di bahagian mulut, si anak mula merengek dan tidak mahu minum susu atau makan. Ini situasi dialami kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Penulis juga mengalami situasi sama apabila dua anak turut mendapat HFMD, namun bersyukur menyedari perkara berkenaan lebih awal dan segera merawat serta mengambil langkah berjaga-jaga.

Apabila situasi berkenaan berlaku pada anak, sudah tentu ibu bapa bimbang dengan keadaan mereka apatah lagi si kecil tidak mahu makan atau minum ditambah pula kerap merengek serta menangis.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam siaran akhbarnya baru-baru ini memaklumkan bermula dari 3 Januari hingga 6 Ogos 2016, sejumlah 23,454 kes HFMD dilaporkan dengan purata kes dilaporkan seminggu untuk seluruh negara sebanyak 757 kes.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 17.8 peratus jika dibandingkan dengan minggu yang sama pada 2015 iaitu sebanyak 19,916 kes dilaporkan dengan purata mingguan 642 kes.

Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 7,471 kes (31.9 peratus), diikuti Sarawak 3,007 kes (12.8 peratus), Johor 2,294 kes (9.8 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2,084 kes (8.9 peratus), Sabah 1,535 kes (6.5 peratus), Perak 1,361 kes (5.8 peratus), Pulau Pinang 1,357 kes (5.8 peratus), Melaka 1,198 kes (5.1 peratus), Negeri Sembilan 889 kes (3.8 peratus) dan Kedah 641 kes (2.7 peratus) dan sementara negeri lain kurang daripada 500 kes.

Tiga daerah di Selangor yang mencatat bilangan kes tertinggi HFMD ialah Petaling (2,699 kes), Hulu Langat (1,801 kes) dan Klang (1,023 kes).

Jangkitan mudah tersebar

Ramai ibu bapa yang kurang yakin dan tertanya-tanya apabila doktor hanya memberikan ubat demam dan ulser sebagai rawatan.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat Perubatan Tropicana Dr Anushree Narayanan berkata, tiada rawatan khusus bagi merawat jangkitan berkenaan, malah antibiotik atau vaksin tidak diperlukan.

“Ia bergantung kepada sistem pertahanan badan pesakit itu sendiri. Kebiasaannya, doktor memberikan ubat demam bagi menurunkan suhu panas, emolien atau ubat untuk mengurangkan ulser dalam mulut.

“Ini kerana setiap kanak-kanak mempunyai gejala berbeza. Ada yang tumbuh ruam yang teruk di bahagian tangan dan kaki, namun mengalami ulser ringan.

“Begitu juga sebaliknya, ada kanak-kanak yang mengalami ulser teruk, namun ruam yang tumbuh tidak serius,” katanya.

Kebiasaannya, HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun, namun orang dewasa juga boleh terkena jangkitan berkenaan tetapi ia jarang berlaku.

HFMD berlaku disebabkan jangkitan virus. Virus biasa yang dikaitkan dengan penyakit ini ialah coxsackie.

Virus coxsackie ini mempunyai banyak jenis. Justeru, tidak hairanlah jika ada kanak-kanak yang boleh mengalami penyakit ini secara berulang dengan jangkitan virus sama tetapi berlainan jenis.

“Penyakit ini biasanya ringan hingga sederhana. Namun, komplikasi yang dialami boleh menjadi lebih teruk bagi kanak-kanak di bawah usia 18 bulan atau mereka yang mengalami dehidrasi disebabkan kekurangan cecair dalam badan.

“Jangkitan HFMD boleh berlaku dalam tempoh lima hingga tujuh hari. Jangkitan virus ini sangat mudah merebak kepada individu lain melalui air liur dan sentuhan, terutama jika tidak mencuci tangan selepas menyentuh pesakit atau terkena cecair lepuhan.

“Dalam tempoh sehari kanak-kanak dijangkiti virus berkenaan, dan dalam tempoh yang sangat cepat ia juga boleh disebarkan kepada individu lain yang bersentuhan dengan pesakit kerana tempoh eraman ialah lima hari,” katanya.

Ujarnya, virus berkenaan boleh hidup dalam tempoh satu hingga dua jam dalam udara atau apa saja permukaan dan disebabkan itu juga ia mudah merebak kepada sesiapa saja terutama kanak-kanak berhampiran.

Jangkitan serius

HFMD boleh menjadi serius jika ia disebabkan jangkitan enterovirus 71 (EV 71). Gejala dialami sama namun boleh menyebabkan HFMD yang kronik.

Pesakit mungkin mengalami ulser dan ruam. Namun, perkara yang lebih serius apabila ia mula menyerang otak.

“Jangkitan ini menyerang bahagian lapisan otak atau jantung yang boleh membawa kematian dalam tempoh singkat jika tidak mendapat rawatan dengan segera, namun ia jarang berlaku.

“Justeru, apabila anak menunjukkan gejala demam, segera bawa berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Bukan itu saja, jika mendapati anak secara tiba-tiba menjadi lemah, muntah atau pening, segera berjumpa doktor kerana ia memberi kesan komplikasi yang sangat pantas.

“Pastikan anak sentiasa minum banyak air bagi mengelakkan dehidrasi dan komplikasi yang lebih teruk,” katanya.

Kebiasaannya, apabila pesakit mengalami ulser dalam mulut menyebabkan mereka tidak mahu makan atau minum.

Justeru, elakkan daripada memberi makanan panas atau susah ditelan. Berikan anak makanan yang menyejukkan tekak seperti jeli, aiskrim atau yogurt untuk menggalakkan cecair masuk ke dalam badan. Selepas anak kembali pulih, bolehlah memberikan makanan biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 12:25 PM