DR Marina memberi penerangan mengenai penyakit barah peti suara.
DR Marina memberi penerangan mengenai penyakit barah peti suara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Masalah ketagihan nikotin akibat merokok dalam kalangan perokok sukar dibendung. Sebaliknya bilangan perokok semakin meningkat terutama perokok baharu dalam kalangan generasi muda.

Banyak laporan mendedahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, namun masih tidak memberi rasa gerun kepada perokok.

Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi Hospital Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) Prof Dr Marina Mat Baki berkata, sebanyak 80 peratus perokok menghidap penyakit barah peti suara akibat daripada tabiat merokok, sekali gus menjadi punca utama penyakit berkenaan.

Menurutnya, risiko ini meningkat empat hingga lima kali ganda jika individu itu perokok tegar dan ketagihan alkohol.

"Barah peti suara adalah sejenis ketumbuhan yang terletak dalam peti suara. Fungsi peti suara ialah untuk menghasilkan suara dan bertindak sebagai saluran pernafasan.

"Namun, kandungan karsinogen pada asap rokok boleh menyebabkan mutasi sel dalam badan dan seterusnya menjadi sel barah.

"Apabila sel barah menyerang peti suara, ia mengakibatkan pembesaran tanpa kawalan dan mengganggu fungsi organ berkenaan.

"Kesannya, fungsi percakapan terganggu yang menyebabkan suara menjadi serak. Ini adalah gejala awal yang sering dialami perokok. Pada peringkat lanjutan, saluran pernafasan akan tertutup dan saluran makanan tersumbat," katanya.

Dr Marina berkata, perokok berisiko kehilangan suara semula selepas menjalani pembedahan membuang peti suara yang 'diserang' barah.

"Bagaimanapun, masalah 'bisu' ini boleh dibantu apabila pesakit mengikuti program pemulihan suara dan rehabilitasi yang dikendalikan pakar otorinolaringologi serta terapi suara," katanya.

RISIKO ini meningkat empat hingga lima kali ganda jika individu itu perokok tegar.
RISIKO ini meningkat empat hingga lima kali ganda jika individu itu perokok tegar.

Dr Marina berkata, jangka masa perokok mendapat barah peti suara bergantung kepada faktor genetik individu itu, sama ada mudah mendapat barah atau sebaliknya.

"Ada yang mendapat penyakit itu selepas 30 tahun bergelar perokok.

"Ada pula diserang barah peti suara lebih awal iaitu dalam tempoh satu atau dua tahun menjadi perokok.

"Namun, kebanyakan pesakit barah peti suara adalah individu dalam kalangan perokok berusia 50 tahun ke atas," katanya.

Mengenai rawatan, Dr Marina berkata, bagi pesakit barah peti suara tahap satu dan dua, mereka dirawat menggunakan laser melalui mulut atau radioterapi.

"Manakala barah tahap lanjutan iaitu tiga dan empat, rawatan dilakukan menerusi dua kaedah iaitu pembedahan trakeostomi dan 'total laryngectomy'.

"Pembedahan trakeostomi ialah prosedur memintas ketumbuhan untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang tersekat pernafasan.

"Seterusnya, pesakit menjalani pembedahan total laryngectomy iaitu pembedahan membuang peti suara secara keseluruhan," katanya.

Dr Marina berkata, sejak Januari lalu, HCTM-UKM sudah melakukan pembedahan membuang peti suara enam pesakit barah peti suara tahap lanjutan.

LUBANG di leher pesakit barah peti suara berfungsi untuk penafasan dan menghasilkan suara.
LUBANG di leher pesakit barah peti suara berfungsi untuk penafasan dan menghasilkan suara.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, gabungan kira-kira 7,000 bahan kimia dan nikotin dalam tembakau menyebabkan perokok mengalami ketagihan yang teruk.

Menurutnya, ketagihan ini menyebabkan perokok sukar hendak 'berpisah' dengan rokok hingga menjadi perokok tegar.

"Kebergantungan kepada rokok boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan terhadap perokok.

"Ada kajian mendapati rokok boleh memendekkan jangka hayat perokok sehingga 10 tahun dan kematiannya dikaitkan dengan tabiat merokok.

"Rokok yang dibakar menghasilkan tar dan karbon monoksida. Ia bersifat karsinogenik yang meningkatkan risiko pelbagai jenis barah seperti barah peti suara, barah paru-paru dan barah lidah," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, asap rokok yang memasuki paru-paru boleh membunuh sel dan silia (seperti rerambut) yang berfungsi membuang kahak serta kotoran dalam paru-paru.

"Apabila sel silia rosak, ia akan memudahkan kahak terkumpul, menjadi batuk dan sukar bernafas.

"Zarah asap turut mencetuskan iritasi paru-paru, tekak, mulut, hidung dan menyebabkan nafas berbau, kahak terkumpul dan batuk bertambah.

"Bahan kimia yang bercampur asap rokok menjadikan sel paru-paru berubah kepada barah paru-paru," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, rokok menyempitkan salur darah yang seterusnya meningkatkan risiko darah tinggi, sakit jantung dan angin ahmar.

"Selain itu, rokok juga boleh menjejaskan kesuburan lelaki dan wanita, mempercepatkan penuaan serta masalah osteoporosis, terutama dalam kalangan wanita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 6:30 AM