BIJI labu, daun pandan, soya, halia serta pisang mentah berpotensi merendahkan gula dalam darah.
BIJI labu, daun pandan, soya, halia serta pisang mentah berpotensi merendahkan gula dalam darah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PENYAKIT kencing manis berlaku apabila fungsi pankreas terjejas dan tidak dapat menghasilkan insulin secukupnya untuk mengawal glukos dalam darah.

Ia adalah penyakit seumur hidup yang mengancam kesihatan masyarakat di Malaysia, mahupun di peringkat global.

Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati, satu daripada lima individu berumur 18 tahun ke atas menghidap kencing manis.

Terdapat tiga jenis penyakit kencing manis dihidapi rakyat Malaysia iaitu kencing manis jenis satu, kencing manis jenis dua dan kencing manis melitus (masalah kencing manis semasa hamil).

Pakar Antioksidan Dr Suri Roowi berkongsi makanan dan bahan bersifat antikencing manis yang boleh mencegah penyakit kencing manis.

Beliau berkata, makanan pertama ialah biji labu. Selain untuk dimakan, biji labu juga digunakan sebagai 'ubat'.

"Manakala minyak biji labu boleh menjadi sumber minyak yang boleh dimakan.

ISI labu juga bersifat antikencing manis.
ISI labu juga bersifat antikencing manis.

"Isi labu juga bersifat antikencing manis. Kajian menunjukkan, kanji yang 'terikat' dengan protein pada isi labu, dapat meningkatkan tahap insulin dan menurunkan paras gula dalam darah tikus kencing manis.

"Dalam eksperimen lain, tikus kencing manis turut diberi biji labu dan ia dapat menurunkan gula darah, trigliserida dan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang juga dikenali sebagai kolesterola jahat," katanya.

Menurut Dr Suri, kedua ialah daun pandan yang sering digunakan untuk membuat kuih-muih atau untuk memberikan aroma kepada masakan.

"Aroma pandan terhasil daripada bahan '2-acetyl-1-pyrroline' (2AP). Bahan ini juga dijumpai dalam beras wangi, beras basmati dan bunga kesidang.

"Bahan ini bermanfaat untuk mengurangkan tekanan dan bertindak sebagai antibarah hati," katanya.

Kata Dr Suri, bahan aroma terdapat dalam daun pandan pada kadar 10 peratus dan mudah hilang akibat proses pemanasan.

DAUN pandan dapat mengurangkan tekanan dan bertindak sebagai antibarah hati.
DAUN pandan dapat mengurangkan tekanan dan bertindak sebagai antibarah hati.

"Oleh itu, untuk mengurangkan kehilangan aroma pandan, sebaiknya masukkan daun pandan di akhir proses memasak.

"Daun pandan juga mengandungi protein bioaktif dipanggil pandanin. Bahan ini bertindak sebagai antivirus. Contoh, antivirus influenza (H1N1)," katanya.

Dr Suri berkata, daun pandan juga mempunyai pelbagai manfaat lain, antaranya sebagai antioksidan dan antikencing manis.

Jelasnya, kajian menunjukkan, pengambilan ekstrak air daun pandan selama enam minggu boleh menurunkan gula dalam darah dan memperbaiki kekebalan insulin (insulin resistance).

"Sebaiknya, ekstrak air daun digunakan ketika memasak nasi (guna beras basmati) untuk bantu kawal gula dalam darah. Ekstrak daun pandan pada kepekatan 15 peratus pula boleh digunakan sebagai bahan awet untuk elakkan pertumbuhan kulat.

"Justeru, untuk menjadikan kuih lebih tahan, lebihkan sedikit ekstrak air daun pandan dalam kuih. Kajian juga menunjukkan, ekstrak air daun pandan boleh menghalang pertumbuhan bakteria 'shigella dysentriae'.

AIR soya dengan campuran sedikit madu boleh menurunkan gula darah.
AIR soya dengan campuran sedikit madu boleh menurunkan gula darah.

"Bakteria ini berbahaya dan boleh menyebabkan penyakit disentri (menyebabkan luka dalam usus)," katanya.

Dr Suri berkata, makanan ketiga bersifat antikencing manis adalah soya. Air soya yang ditambah sedikit madu boleh menurunkan gula darah.

"Kajian diterbitkan dalam jurnal 'Asia Pacific Journal on Clinical Nutrition' pada 2008 mendapati, pengambilan produk soya dapat mengurangkan risiko kencing manis jenis dua, terutama dalam kalangan wanita yang mempunyai berat badan berlebihan.

"Kacang soya yang direndam dan bercambah menjadi tauge (soy bean sprout) boleh menurunkan gula dalam darah. Ia lebih baik berbanding kacang soya tidak bercambah," katanya.

Katanya lagi, contohnya, kajian diterbitkan dalam 'International Food Research Journal' pada 2018 menunjukkan, kacang soya yang bercampah selama 36 jam, dapat meningkatkan asid amino bebas.

"Asid amino ini dapat merangsang pengeluaran insulin yang diperlukan pesakit kencing manis. Caranya ialah celurkan tauge kacang soya dengan air panas atau kukus sebelum dimakan.

KHASIAT tauge kacang soya lebih tinggi berbanding kacang soya tidak bercambah.
KHASIAT tauge kacang soya lebih tinggi berbanding kacang soya tidak bercambah.

"Pengambilan protein soya juga membantu mengurangkan kolesterol yang ketara dalam darah," katanya.

Dr Suri berkata, bahan seterusnya ialah halia. Sifat antikencing manis pada herba ini lebih baik berbanding bawang putih.

"Kajian klinikal mendapati, penggunaan serbuk halia sebanyak tiga gram (g) sehari selama 30 hari, dapat menurunkan gula dalam darah.

"Selain daripada itu, ia boleh menurunkan kolesterol dan trigliserida dalam kalangan pesakit kencing manis jenis dua," katanya.

Beliau berkata, halia segar juga boleh digunakan, cuma biasanya jumlah yang digunakan adalah berganda daripada dos biasa iaitu enam gram.

"Kajian diterbitkan dalam 'Asian Journal Experimental Science' pada 2009 juga mendapati, halia berpotensi merendahkan gula dalam darah dan kadar protein dalam air kencing, sesuai untuk pesakit buah pinggang.

HALIA berpotensi merendahkan gula dalam darah dan kadar protein dalam air kencing.
HALIA berpotensi merendahkan gula dalam darah dan kadar protein dalam air kencing.

"Bahan khasiat dalam halia dikenali sebagai 'gingerol' dan 'shogaol'. Halia bentong lebih tinggi khasiatnya berbanding halia biasa. Cuma harga halia bentong biasanya lebih mahal," katanya.

Selain itu, Dr Suri turut berkongsi khasiat pisang mentah (hijau) rebus yang bagus untuk pesakit kencing manis dan mengawal berat badan.

Tambahnya lagi, pisang hijau yang direbus mengandungi kanji rintang antara 70 hingga 80 peratus.

"Kanji rintang tidak dicerna dan bertindak seperti serat. Ia membuatkan kita berasa kenyang serta bagus kepada mereka yang hendak berdiet atau kurus.

"Pisang hijau rebus lebih enak dimakan bersama kelapa parut. Kajian menunjukkan pisang hijau rebus membantu mengawal gula dalam darah.

"Pisang hijau rebus mempunyai nilai indeks glisemik (GI) 30 berbanding pisang masak iaitu GI 60. Ia sesuai untuk pesakit kencing manis.

PISANG muda rebus bagus untuk pesakit kencing manis dan mengawal berat badan.
PISANG muda rebus bagus untuk pesakit kencing manis dan mengawal berat badan.

"Bagaimanapun, memakan pisang hijau rebus dalam kuantiti banyak boleh menyebabkan kembung perut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 6:30 AM