MALAYSIA membenarkan kemasukan pelawat dari China
MALAYSIA membenarkan kemasukan pelawat dari China
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan akan melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari China.

Ini untuk memperkukuhkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa (PMA) bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia susulan keputusan kerajaan membenarkan kemasukan pelawat dari Negara Tembok Besar itu ke Malaysia.

Keputusan itu mencetuskan kebimbangan ramai memandangkan dua varian terbaharu Covid-19, varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang menular di China, dikesan sudah berada di negara ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Fadly Khairie memuat naik hantaran dalam Facebooknya menjelaskan isu berbangkit mengenai ujian air kumbahan itu.

"Jadi, tidak ada isu sampel air kumbahan ini sebagai cara yang tidak efektif. Selain Malaysia, beberapa negara lain iaitu Amerika Syarikat dan Australia juga mengambil pendekatan sama.

"Ini juga bukan kali pertama KKM laksanakannya, sudah banyak kali kita buat (ujian air kumbahan) untuk penyakit yang lain.

"Kaedah ini akan diperkukuh dengan langkah lain. Lebih bagus, kita perlu pastikan doa penggalak diambil selain sentiasa menjaga kesihatan kendiri.

MALAYSIA akan melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari China.
MALAYSIA akan melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari China.

"Hendak atau tidak, kita kena hidup dengan Covid-19 di sekeliling kita," katanya pada hantaran itu.

Berikut 10 penjelasan Dr Fadly:

1. Ujian air kumbahan bermaksud, mengambil sampel daripada air kumbahan daripada kapal terbang.

Kemudian dihantar ke makmal untuk analisis tahap Covid-19 di dalam sampel air berkenaan.

2. Bagusnya melakukan ujian itu supaya, walaupun individu berkaitan tiada gejala, mereka tetap akan ada komponen atau partikel virus Covid-19.

3. Jika tahap ini tinggi, ia ada perkaitan dengan kadar Covid-19 yang tinggi di sesuatu kawasan.

4. Tetapi, ini bukan langkah saringan, juga bukan langkah untuk mengesan siapa yang positif.

Ia adalah langkah pemantauan bagi mengetahui betapa serius jangkitan Covid-19 di sesuatu kawasan.

5. Tiada soal lambat atau cepat sebab kita bukan hendak sekat siapa pelancong positif, tetapi lebih kepada mahu melihat situasi kadar penularan atau jangkitan yang berlaku.

6. Data tahap ini diberi kepada pejabat kesihatan dan pakar perubatan kesihatan awam.

Mereka akan menilai serta merancang dasar mengenai langkah berkesan yang boleh dilakukan untuk mengawal penyebaran jangkitan dalam negara.

Juga boleh menjadi penilaian kalau kita sudah membuat langkah kawalan sama ada kaedah yang digunakan itu berkesan atau sebaliknya.

7. Satu perkara kita perlu faham ialah langkah kesihatan awam ini bukan seperti membuat pembedahan, kita buat satu (pembedahan), selesai masalah.

Ia memerlukan gabungan beberapa kaedah dan kaedah ini dinamik serta boleh berubah-ubah.

8. Kita bukan setakat melakukan ujian air kumbahan, tetapi turut membuat aktiviti lain.

Sewaktu kita membaca ini pun, mereka sudah pun melaksanakan saringan suhu dan gejala kepada pelancong serta pengisytiharan gejala.

Saringan itu yang akan kesan dan menahan mereka yang bergejala.

9. Adakah kita akan membuat ujian saringan 'Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction' (RT-PCR) di pintu masuk atau mewajibkan RT-PCR negatif untuk semua pelancong dari China?

Mungkin boleh, dasar ini mengambil masa dan memerlukan kos.

Sebab itu, kita perlu data survelans sebagai bukti supaya boleh menggerakkan sumber pada masa yang tepat tanpa sebarang pembaziran.

10. Kenapa kita tidak sekat sahaja pelancong dari China?

Selama ini sudah sekian lama mereka tidak masuk ke mana-mana negara dan semua negara bersedia untuk memastikan tahap imuniti terhadap Covid-19 tinggi.

Sekatan hanya langkah sementara dan tidak sesuai untuk langkah masa panjang.

Lagipun, kenapa menyekat mereka sedangkan semua rakyat Malaysia pun sudah bebas melancong ke serata dunia?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 6:12 AM