SamadiAhmad


Putrajaya: Alif Masyhur Sdn Bhd (Alif Masyhur) dengan usahasama Fjord Diagnostics Sdn Bhd (Alif-fjord) menjadi syarikat Malaysia pertama menghasilkan peralatan kit ujian saringan Covid-19 menggunakan sampel air liur (deep throat saliva).

Pengerusi Eksekutif Alif Masyhur Sdn Bhd, Datuk Mazlan Sabli, berkata ia dikenali sebagai Kit Ujian Pengumpulan Sampel Air Liur, Fjord-Saliva yang mengandungi alat (sediprep) untuk meningkatkan konsentrasi kandungan virus dalam sample air liur bagi mengesan Covid-19.

Menurutnya, kaedah persampelan air liur lebih mudah, selesa dan selamat kerana ia bersifat 'self collected' tidak memerlukan bantuan petugas barisan hadapan kesihatan serta kosnya juga lebih rendah iaitu RM45.

SIDANG media pengenalan kit ujian pengumpulan sampel air liur Fjord untuk mengesan Covid-19 di Presint 8. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
SIDANG media pengenalan kit ujian pengumpulan sampel air liur Fjord untuk mengesan Covid-19 di Presint 8. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Katanya, ia turut mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti PerubatanMalaysia (MDA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Medical Device Safety Services (MDDSS), Jerman.

"Kit ujian ini adalah kaedah persampelan yang selamat dan tidak invasif berbanding persampelan kaedah 'nasopharyngeal' dan 'oropharyngeal' swab iaitu melalui hidung dan mulut," katanya pada sidang media Pelancaran Produk Inovasi Peranti Perubatan Covid-19 Buatan Malaysia Yang Pertama di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pembangunan Perniagaan Fjord Diagnostics Sdn Bhd, Robin Chin.

Mazlan berkata, sebelum dihasilkan, kit ujian ini dibincangkan dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada awal Disember 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 7:40 PM