TERBUKTI boleh digunakan sebagai kaedah penyaringan jangkitan virus Covid-19.
TERBUKTI boleh digunakan sebagai kaedah penyaringan jangkitan virus Covid-19.

Air liur mempunyai banyak fungsi yang bermanfaat. Selain bertindak sebagai bahan pelembap dalam mulut, ia juga memelihara struktur gigi dan organ dalam mulut daripada jangkitan kuman.

Selain itu, ia membantu proses merasa makanan dan proses pencernaan.

Malah, ia juga faktor penting sebagai pelekatan bagi mereka yang memakai prostesis pergigian seperti gigi palsu.

Umumnya, 99 peratus daripada kandungan air liur adalah terdiri daripada air.

Selebihnya adalah zat terlarut yang terdiri daripada elektrolit seperti natrium, klorida, kalium, kalsium, magnesium, bikarbonat dan fosfat, selain mengandungi imunoglobulin, protein, enzim, urea serta ammonia.

Pada hari ini, air liur membuktikan bahawa ia adalah rembesan cecair berharga dalam membantu petugas kesihatan menyaring kes Covid-19 dan seterusnya memantau perkembangan jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.

Di Malaysia, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melaporkan bahawa sampel air liur (awal pagi) dan kahak (deep throat saliva), terbukti boleh digunakan sebagai kaedah penyaringan jangkitan virus Covid-19.

Ia dilaporkan setara dengan sampel yang biasa diguna pakai ketika ini iaitu cara calitan di hidung dan tekak (nasopharyngeal dan oropharyngeal).

Malah, Ketua Unit Virologi IMR Dr T Ravindran menyatakan, sampel air liur adalah penemuan terbaharu bagi menggantikan sampel yang diambil hasil calitan pada hidung dan tekak.

Kaedah ini terbukti memberi keputusan ketepatan (specificity) sebanyak 100 peratus, manakala keputusan sensitiviti (sensitivity) ialah 96.67 peratus.

Atas dasar itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) baru-baru ini, meluluskan secara bersyarat, 11 kit ujian kendiri Covid-19 yang menggunakan kaedah pengesanan 'Rapid Test Kit Antigen' (RTK-Antigen) untuk diedar dan dijual kepada orang awam bagi menjalankan ujian saringan Covid-19 di rumah masing-masing.

Daripada 11 kit itu, tujuh kit menggunakan sampel air liur manakala kit yang selebihnya menggunakan salah satu sampel calitan nasofarinks atau saliva ataupun campuran kedua-dua sampel.

Kit ujian kendiri ini boleh dibeli dan didapatkan di farmasi komuniti berdaftar atau fasiliti kesihatan.

Antara kebaikan utama kit ujian air liur ini adalah saringan boleh dikendalikan di mana-mana secara mudah.

Ia membolehkan pihak berkaitan mengenal pasti dan mengawal risiko jangkitan Covid-19 dengan kadar yang lebih efektif, memandangkan individu berkenaan tidak perlu hadir ke fasiliti kesihatan bagi melakukan pengesanan awal Covid-19.

Selain itu, persampelannya juga adalah lebih selamat dan tidak invasif berbanding cara calitan hidung serta tekak.

Dalam hal ini, proses pengumpulan air liur adalah lebih mudah dan tidak rumit di mana ia hanya memerlukan individu itu meludah atau merembes air liur secara pasif dalam tiub.

Orang awam dan sesiapa sahaja boleh mengumpul sendiri sampel air liur dengan mengikuti lampiran bertulis langkah demi langkah yang dikepilkan dalam setiap kit ujian berkenaan.

Terdapat juga pengeluar atau pengedar kit ujian kendiri berkongsi video mengenai tatacara penggunaannya di YouTube bagi mereka yang memerlukan arahan secara audio visual.

Oleh itu, keputusan KKM melancarkan kit ujian air liur untuk saringan kendiri dilihat sebagai langkah tepat pada masa negara berusaha untuk mengawal kadar jangkitan dalam komuniti.

Diharapkan, kewujudan kit ujian air liur kendiri ini dapat membantu kerajaan, KKM dan seluruh masyarakat secara amnya dalam mempermudah dan mempercepatkan proses penyaringan serta mendiagnosis individu yang dikenal pasti mempunyai risiko dijangkiti Covid-19.

Persampelan air liur di rumah juga dapat membantu KKM menjimatkan sumber tenaga barisan hadapan dan kewangan kerajaan yang kini mencecah lebih RM500,000 sehari.

Ia membabitkan kos persampelan, ujian di makmal dan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE), selain harganya yang jauh lebih murah berbanding ujian 'Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction' (RT-PCR).

Namun, masyarakat perlu sedar bahawa kit ujian kendiri ini bukan mengambil alih fungsi diagnostik ujian RT-PCR untuk Covid-19.

Sebaliknya, ia berfungsi sebagai ujian saringan untuk mendapatkan keputusan segera mengenai status jangkitan mereka sebelum tindakan seterusnya diambil.

Orang ramai juga dinasihati menggunakan kit ujian mengikut arahan penggunaan yang terkandung pada label bagi memastikan ia digunakan dengan cara betul.

Ia juga mesti dilupuskan dengan cara selamat menggunakan beg plastik yang disediakan serta dibuang dengan segera selepas disanitasi bagi mengurangkan risiko jangkitan virus dan pencemaran alam sekitar.

Sementara itu, masyarakat turut diingatkan supaya menyemak senarai kit ujian kendiri diluluskan di laman web MDA sebelum melakukan sebarang pembelian bagi mengelakkan pembelian kit palsu yang mempunyai kadar sensitiviti rendah dan tidak memenuhi piawaian KKM.

Selain itu, amat penting bagi orang ramai mengetahui bahawa sebarang hasil keputusan ujian kit kendiri Covid-19 sama ada positif, negatif atau tidak sah (invalid) perlu dilaporkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera.

Mereka perlu bertanggungjawab untuk melaporkan keputusan sebenar dan tidak melakukan pemalsuan bagi mencegah implikasi jangkitan kepada orang lain.

Sekiranya keputusan ujian kit kendiri positif, pengguna perlu hadir ke fasiliti kesihatan swasta, pusat penilaian risiko Covid-19 (CAC) atau mana-mana klinik kesihatan untuk penilaian kesihatan, sebelum status kesihatan mereka dimuat naik dalam aplikasi MySejahtera.

Jika keputusannya adalah negatif tetapi individu berkenaan didapati bergejala, mereka turut dinasihati hadir ke klinik swasta atau klinik kesihatan untuk penilaian yang sama, manakala untuk keputusan tidak sah, mereka dinasihati untuk mengulang semula ujian.

Kesimpulan, kemajuan teknologi masa kini berjaya mencipta ujian saringan kendiri yang lebih mudah dan mesra pengguna bagi mengesan Covid-19 melalui penggunaan sampel air liur.

Diharapkan kaedah ini dapat dipraktikkan dengan betul dan sebaiknya oleh masyarakat dalam membantu memudahkan proses pengesanan dan pengawalan jangkitan Covid-19.

Ini sekali gus membantu mengurangkan beban ekonomi dan bebanan kerja barisan hadapan serta petugas kesihatan di Malaysia dalam perjuangan memerangi Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:23 AM