PENGEMBARA dari China ketika tiba di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam. FOTO Reuters
PENGEMBARA dari China ketika tiba di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam. FOTO Reuters
AFP

Paris: Beberapa negara akan memantau air kumbahan dari penerbangan yang tiba di China sebagai tindak balas kepada lonjakan kes Covid-19 di negara itu.

Walaupun langkah itu tidak akan menghalang penyebaran virus, ia dapat memberi gambaran mengenai skala wabak itu di China dan sama ada varian baharu muncul di sana.

Proses itu membabitkan pemeriksaan campuran air kencing dan najis di tandas pesawat yang tiba dari China.

Sisa air itu kemudiannya dianalisis untuk mengetahui berapa peratus penumpang yang mempunyai Covid-19 dan varian tertentu.

Pihak berkuasa tempatan akan mengumpul sampel dari sisa kumbahan itu selepas pesawat mendarat dan menghantarnya ke makmal untuk ujian.

Apabila virus dikesan, genomnya disusun untuk mengetahui sama ada ia adalah subvarian yang diketahui.

Sisa air juga boleh dikumpulkan dari seluruh lapangan terbang namun mustahil untuk menentukan dari negara mana sampel berasal.

   

Negara yang sudah mula melakukan pemantauan?

Belgium, Kanada, Austria dan Australia antara negara yang akan menguji air kumbahan pesawat yang datang dari tanah besar China.

Kesatuan Eropah (EU) dijangka mengikuti langkah itu selepas majoriti pegawai kementerian kesihatan negara pada Selasa mengesyorkan untuk meningkatkan pemantauan air kumbahan.

Amerika Syarikat (AS) juga sedang mempertimbangkan langkah itu, menurut laporan media AS.

Ia berikutan peningkatan jangkitan di China, sejak bulan lalu, apabila ia menarik semula langkah sifar Covid-19 ketat, yang dilaksanakan sejak permulaan wabak itu.

Beberapa negara termasuk AS turut menuntut penumpang yang tiba dari China untuk memberikan keputusan ujian saringan Covid-19 negatif dan mencetuskan kemarahan Beijing.

   

PENGEMBARA wanita dari China memasuki pusat ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan. FOTO AP
PENGEMBARA wanita dari China memasuki pusat ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan. FOTO AP

Kenapa ia perlu dilakukan?

Pengarah Institut Kesihatan Global di Universiti Geneva, Antoine Flahault berkata, sampel itu akan memberikan gambaran mengenai situasi penularan Covid-19 di China.

"Ini sangat penting (kerana ada) keraguan mengenai ketelusan dan ketekunan maklumat kesihatan rasmi yang datang daripada kerajaan China," katanya kepada AFP.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengkritik definisi Beijing yang sangat sempit mengenai kematian Covid-19 dan berkata, statistik rasmi China kurang mewakili kemasukan dan kematian hospital di negara itu.

Menurut Flahault, pemantauan air kumbahan boleh membantu memberikan maklumat tertentu.

Ia juga membolehkan negara mengetahui kemungkinan varian baharu yang boleh mengubah trajektori wabak itu, seperti yang disebabkan oleh varian Omicron, pada akhir tahun lalu.

   

Pandangan pakar

Sementara itu, pakar kesihatan memberi amaran bahawa lonjakan kes dalam kalangan 1.4 bilion penduduk China boleh menyediakan lokasi sesuai untuk strain baharu.

Pemantauan sisa air adalah lebih mudah untuk dijalankan berbanding menguji penumpang yang tiba di lapangan terbang.

Satu batasan dalam hal itu adalah air kumbahan hanya boleh memantau penumpang yang menggunakan tandas ketika penerbangan.

Ia juga mengambil masa beberapa hari untuk mengumpul, menguji, menyusun dan menganalisis penemuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 9:43 AM