GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima banyak aduan dan pandangan orang ramai berkaitan kebimbangan mereka terhadap kaedah ujian sampel air liur dan dari hidung bagi mengesan Covid-19 yang menggunakan kit ujian kendiri.

Ia berikutan ujian itu memberikan keputusan yang bercanggah antara keduanya-duanya.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, ujian dari hidung menunjukkan mereka positif Covid-19, manakala ujian sampel air liur menunjukkan keadaan sebaliknya iaitu negatif.

Katanya, orang ramai melakukan sendiri ujian itu berikutan ahli keluarga mereka positif Covid-19 dengan bergejala sementara ahli keluarga lain melakukannya kerana mereka juga mempunyai gejala.

"Namun, dalam kedua-dua kes, hasil ujian menunjukkan negatif dalam ujian sampel air liur.

"Paling membimbangkan jika kit ujian kendiri kurang sensitif dengan memberi hasil negatif palsu dan mereka mungkin beranggapan gejala yang dialami tiada kaitan dengan Covid-19 lalu tidak menjalani kuarantin diri sehingga menyebarkan virus itu dalam komuniti," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, antara yang dibimbangi ialah penghidap asma sekiranya hasil ujian kendiri menunjukkan negatif palsu dan mungkin tidak melakukan kuarantin diri.

Katanya, tindakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada orang ramai bagi melakukan sendiri ujian mengesan Covid-19 tidak berkesan bagi mengasingkan mereka yang dijangkiti daripada orang lain.

"Pada masa sama, mereka bergantung kepada laporan kendiri kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi perbezaan besar dalam pengumpulan statistik.

"Justeru, CAP ingin tahu sekiranya benar kit ujian kendiri itu tidak sensitif, kenapa pihak KKM meminta masyarakat melakukannya sendiri?" katanya.

Menurut Mohideen, CAP juga bimbang mengenai virus baharu yang mungkin dibawa masuk ke Malaysia apabila sempadan dibuka sekiranya kit ujian berkenaan tidak cukup sensitif bagi mengenal pasti pelancong dijangkiti dan menghalang mereka daripada masuk ke negara ini.

"Individu yang mempunyai kontak sosial ketika bertugas membeli serta menguji diri mereka sendiri dari semasa ke semasa dan mungkin KKM perlu meyakinkan mereka bahawa perbuatan itu adalah sia-sia.

"Jika ujian air liur tidak sesensitif seperti ujian dari hidung, mengapa mereka perlu mendapatkan kit ujian air liur jika ia sememangnya tidak memenuhi tujuannya?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 5:17 PM