PETUGAS kesihatan mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas penduduk sekitar yang hadir di Klang. KKM akan memulakan persampelan menggunakan air liur sebagai alternatif kepada pengumpulan sampel melalui cara calitan di tekak dan hidung. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PETUGAS kesihatan mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas penduduk sekitar yang hadir di Klang. KKM akan memulakan persampelan menggunakan air liur sebagai alternatif kepada pengumpulan sampel melalui cara calitan di tekak dan hidung. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan persampelan menggunakan air liur dan kahak dalaman (deep throat saliva) di peringkat hospital dalam masa terdekat sebelum ia diperkembangkan ke fasiliti kesihatan yang lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penggunaan persampelan menggunakan air liur itu adalah satu alternatif kepada pengumpulan sampel melalui cara calitan di tekak dan hidung (nasopharyngeal dan oropharyngeal) yang digunapakai ketika ini.

Beliau berkata, persampelan itu adalah lebih selamat dan tidak invasif berbanding cara calitan tekak dan hidung, selain akan mempercepatkan dan meningkatkan saringan Covid-19.

"KKM akan memulakan persampelan bagi ujian Covid-19 dengan menggunakan airliur (deep throat saliva) bagi membantu negara untuk memerangi pandemik Covid-19.

"Kaedah ini juga bersifat 'self -collected' (dikumpul sendiri) dan akan menjimatkan pemakaian penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Adham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah menjalankan penilaian bagi kaedah persampelan menggunakan air liur itu dan ia sesuai bagi ujian RT-PCR Covid 19.

Katanya, ketika ini, IMR sedang melengkapkan kajian penggunaan sampel air liur untuk ujian RTK-Antigen.

Beliau berkata, persampelan bagi ujian Covid-19 dengan menggunakan air liur sudah dijalankan di beberapa negara, bahkan ia lebih murah dan antara kaedah mengumpul sampel paling konsisten.

Selain itu, Dr Adham turut memaklumkan penilaian IMR mendapati kaedah persampelan air liur itu memberi keputusan sebanyak 100 peratus ketepatan dan 96.67 peratus untuk sensitiviti.

Pada 5 Februari lalu, BH melaporkan Ketua Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, IMR, Dr T Ravindran, berkata sedang mengkaji sampel alternatif untuk RTK-Antigen.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuat pemantauan terhadap penggunaan air liur pada awal pagi dan kahak dalaman sebagai sampel alternatif untuk ujian RT-PCR.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 3:17 PM