ANTARA ubat-ubatan dan produk kesihatan bernilai RM1.13 juta yang dirampas. FOTO Ihsan JKNJ
ANTARA ubat-ubatan dan produk kesihatan bernilai RM1.13 juta yang dirampas. FOTO Ihsan JKNJ
Omar Ahmad


Johor Bahru : Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Johor merampas produk ubat-ubatan dan kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM1.13 juta.

Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu berkata, rampasan itu dibuat hasil operasi 'Ops Nico' yang dijalankan berdasarkan pemantauan ke atas sebuah premis di bandar raya ini, pada 8 September lalu susulan aduan orang awam.

Katanya, rampasan membabitkan sebanyak 335 jenis produk ubat-ubatan dan produk kesihatan tidak berdaftar.

"Premis kediaman ini dijadikan sebagai stor untuk menyimpan ubat-ubatan dan produk kesihatan tanpa kelulusan daripada KKM.

"Siasatan awal mendapati ubat-ubat dan produk kesihatan tidak berdaftar ini dijual secara berleluasa dalam talian di platform e-dagang Malaysia.

"Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Aman, operasi itu membabitkan 12 Pegawai Penguat kuasa Farmasi dari CPF Negeri Johor, selepas beberapa bulan membuat pemantauan.

Katanya, pihak KKM sentiasa melakukan aktiviti penguatkuasaan bagi premis yang menjual produk kesihatan seperti produk 'over-the-counter' (OTC) dan tradisional.

"Langkah itu bagi memastikan hanya produk yang berdaftar dan tulen dijual di pasaran. Pihak KKM juga menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa membeli sebarang produk kesihatan.

"Pastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran sentiasa mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya.

Bagi ubat-ubatan dan produk kesihatan, pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) pada label produk sebelum membeli produk kesihatan itu.

Ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual seperti antibiotik hanya boleh dibekalkan oleh Ahli Farmasi yang berlesen dan Pegawai Perubatan yang berdaftar sahaja.

Orang ramai juga boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari https://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Famasi Negara di talian 03-7883 5400.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 10:38 PM