GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


SEORANG penunggang motosikal maut apabila merempuh kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 283.7 Lebuhraya PLUS arah utara dekat plaza tol Simpang Pulai, Ipoh, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang, Mohd Shukri Mohamad Nazri, 22, yang menunggang motosikal Yamaha LC135 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Manakala pemandu pikap jenis Mitsubishi Triton tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati pemandu Mitsubishi Triton berusia 60 tahun dipercayai memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan untuk memakan ubat.

Katanya, mangsa yang datang dari arah belakang merempuh kenderaan pacuan empat roda berkenaan mengakibatkan mangsa parah dan meninggal dunia serta merta.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nordin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 8:18 AM