LAPORAN terdahulu portal MyMetro
LAPORAN terdahulu portal MyMetro
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang daripada mangsa maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di KM263, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, petang tadi sempat memberikan pertolongan kepada pemandu Perodua Myvi yang terbabas di longkang tepi jalan, sebelum dirempuh kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata, mangsa dikenal pasti sebagai K Nagantheran, 22, berasal dari Taman Rishah, Ipoh, maut di tempat kejadian.

Manakala, katanya, pemandu Perodua Myvi terbabit yang turut maut akibat dirempuh, dikenal pasti sebagai Maryamah Talib, 52, yang juga isteri kepada seorang penolong pegawai penyiasat cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, yang mana mangsa maut ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, selain itu dua lelaki masing-masing berusia 46 dan 51 tahun parah dan kini dirawat di Zon Merah HRPB, sementara seorang wanita berusia 42 tahun patah tangan kanan dan cedera di muka.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 34 tahun yang menunggang motosikal Honda Wave hanya mengalami luka pada kulit selain lima individu lain yang turut terbabit dalam nahas ini tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan mendapati Perodua Myvi dipandu Maryamah pada mulanya terbabas sendiri ke longkang tepi jalan sebelum dua lagi kenderaan iaitu sebuah lagi Perodua Myvi dipandu Nagantheran dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Triton yang dinaiki mangsa parah berusia 51 tahun berhenti di tepi jalan bagi memberikan bantuan.

"Maryamah pada mulanya berjaya diselamatkan Nagantheran serta penumpang Mitsubishi Triton terbabit namun semasa mereka bertiga sedang berdiri di belakang Mitsubishi Triton itu, sebuah Perodua Alza dalam keadaan hilang kawalan secara tiba-tiba merempuh mereka bertiga.

"Rempuhan oleh Perodua Alza itu yang dipandu mangsa parah berusia 46 tahun, menyebabkan ketiga-tiga mereka yang berada di belakang Mitsubishi Triton terbabit ketika itu jatuh ke longkang beserta SUV berkenaan yang turut jatuh ke longkang.

"Selepas itu datang motosikal Honda Waveditungfang lelaki berusia 34 tahun yang tidak sempat mengelak lalu terbabas sendiri jatuh di atas jalan raya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kemalangan dikenal pasti berpunca daripada Perodua Alza yang hilang kawalan lalu merempuh kenderaan yang sedang berhenti untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bedah siasat mangsa yang maut berkemungkinan dilakukan pada petang esok iaitu selepas laporan ujian Covid-19 diperoleh," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata nahas itu membabitkan empat kenderaan, dengan seorang mangsa maut di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa cedera parah.

Jurucakap itu berkata, ketibaan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya yang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.56 petang mendapati hanya seorang mangsa iaitu pemandu Perodua Alza yang dalam keadaan masih tersepit, sementara tiga mangsa lain sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 11:16 PM