GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


ANGGOTA Pasukan Sukarelawan Polis (PSP) maut selepas motosikal ditungganginya merempuh treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 284.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, Konstabel Muhammad Najmuddin Afham Nasir, 25, yang bertugas di PSP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh meninggal di dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa dari arah Ipoh menghala ke utara dipercayai merempuh belakang sebelah kanan treler yang berhenti di lorong kecemasan.

Katanya, siasatan terhadap pemandu treler berusia 23 tahun mendakwa mangsa yang merempuh bahagian belakang trelernya kemudian tercampak sebelum dilanggar kenderaan yang tidak tidak dikenal pasti.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataannya di Ipoh, hari ini.

Mohd Ali berkata, bedah siasat mayat mangsa di jalankan pagi ini bagi mengetahui punca kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 12:26 PM