KEADAAN Mitsubishi Triton yang remuk selepas bertembung dengan lori di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang, Ipoh, hari ini yang menyebabkan dua terbunuh termasuk Zulfaqar (gambar kecil). FOTO ihsan bomba
KEADAAN Mitsubishi Triton yang remuk selepas bertembung dengan lori di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang, Ipoh, hari ini yang menyebabkan dua terbunuh termasuk Zulfaqar (gambar kecil). FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman


DUA termasuk seorang pelajar berusia 13 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bertembung dengan lori di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, penumpang, Zulfaqar Khirul Nizam, 13, maut di lokasi kejadian manakala pemandu Mitsubishi Triton, Ahmad Zhafran Yunus, 22, beralamat di Taman Sri Intan, Gemencheh, Negeri Sembilan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, 20 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan antara pacuan empat roda dinaiki dua mangsa dan lori dipandu lelaki berusia 44 tahun yang tidak cedera.

Beliau berkata, mangsa berusia 22 tahun dipercayai baharu mengambil anak majikannya pulang dari sekolah dan dalam perjalanan dari arah Jelapang menghala ke Menglembu manakala lori berkenaan dari arah bertentangan.

“Setiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan berpusing memasuki ke lorong bertentangan.

“Kenderaan itu kemudian merempuh bahagian hadapan lori di laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ali berkata, berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa tersepit namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pemandu dikeluarkan anggota bomba dan dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada 3.30 petang.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 9:43 PM