EMPAT watak utama drama Suri Hati iaitu Melanie Tan (Atikah), Puteri Sarah (Sarah), Nadia Brian (Laila) dan Adriana Adnan (Suraya).
EMPAT watak utama drama Suri Hati iaitu Melanie Tan (Atikah), Puteri Sarah (Sarah), Nadia Brian (Laila) dan Adriana Adnan (Suraya).
Ridzuan Abdul Rahman


BIARPUN terpaksa berdepan emosi serta isu pergolakan rumah tangga ketika penggambaran, pelakon Puteri Sarah Liyana tetap profesional melunaskan tugasnya menerusi drama rantaian Suri Hati yang kini ditayangkan di slot Samarinda TV3 sejak 12 Oktober lalu, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam.

Penerbit Suri Hati, Faizatul Hasanah Hussain atau Hana Hussain berkata, mereka kagum serta berterima kasih terhadap Puteri Sarah kerana berjaya melunaskan tugas dengan sempurna sebagai Sarah.

"Tak dinafikan sesiapa pun pasti akan tertekan dengan masalah peribadi yang dihadapi. Namun, kami dan semua yang terbabit dalam Suri Hati memahami situasi yang berlaku.

"Penggambaran dihentikan dalam tempoh beberapa jam bagi memberi laluan untuk Puteri Sarah bertenang. Akhirnya dia tetap setia melunaskan tugas dengan sempurna sebagai Sarah.

"Saya juga bersyukur kerana sepanjang dua bulan proses penggambaran, pelakon dan kru memberikan komitmen terbaik terhadap drama ini," katanya.

Hana yang sudah 15 tahun terbabit dalam industri penerbitan yang juga bekas wartawan penyiaran TV3 berkata, semua pihak perlu berani mengangkat drama kemasyarakatan seperti Suri Hati yang diambil dari kisah sekeliling.

SURI Hati kisah kehidupan empat wanita.
SURI Hati kisah kehidupan empat wanita.

"Ia kemudian digarapkan dengan kemas untuk ke layar TV. Saya yakin ada penonton yang menonton akan terdetik dalam hati berkata 'eh ..macam kisah hidup aku jer..'

"Sebagai penerbit yang optimis, saya sedia bersaing secara sihat dengan produksi lain dalam menghasilkan drama yang lebih berbentuk kemasyarakatan.

"Kita tidak boleh meletakkan cerita cinta sahaja sebagai penanda aras sebuah drama itu boleh diterima pakai oleh penonton," katanya.

Akuinya, walaupun 'demand' tinggi terhadap genre cinta, namun cerita berbentuk wanita, keluarga dan masyarakat juga perlu diangkat supaya dapat mendidik penonton prihatin dengan isu semasa.

"Kita perlu menggunakan pelbagai platform lain seperti platform digital yang popular ketika ini sebagai medium untuk menyampaikan maklumat walaupun dalam bentuk drama.

"Sudah pasti ia akan memberikan impak positif kepada penonton khususnya wanita dalam jangka panjang.

"Itu lebih baik daripada membiarkan sahaja TV tempatan mati tanpa sebarang produk baharu seperti ini," katanya.

Suri Hati adalah kisah persahabatan mengisahkan kehidupan empat wanita iaitu Sarah, Laila, Atikah dan Suraya yang masing-masing mempunyai latar berbeza dalam menangani masalah kehidupan mereka.

Kisahnya diambil dari realiti hidup serta kisah wanita, keluarga dan masyarakat di Malaysia.

Selain Puteri Sarah, drama terbitan Million Pictures Sdn Bhd Sdn Bhd ini turut membariskan Nadia Brian (Laila), Adriana Adnan (Suraya) dan Melanie Tan (Atikah).

Ia turut dibantu oleh Ikhwan Khairuddin, Carissa Azhar, Malek MacCrone, Shakilla Khoriri dan Faizul Syaharin.

Pengarahnya, Azhar Khalid atau Apache berkata, dia percaya pemilihan pelakon dalam Suri Hati mampu menghidupkan jalan cerita dan mood penonton baik dari segi pencahayaan, 'framing' serta skrip yang mantap.

"Pengalaman 30 tahun saya sebagai pengarah, membuatkan set penggambaran Suri Hati mudah dikendalikan dalam tempoh dua bulan.

"Menariknya, ini adalah drama bersiri pertama arahan saya yang membabitkan hanya pelakon wanita diangkat sebagai 'hero' dalam drama," katanya.

Karya hasil tulisan Amaz Mazilan ini tampil mengutarakan pelbagai aspek utama antaranya dendam, kecewa, persahabatan, cinta dan kekeluargaan.

Penggambaran dibuat sekitar Selangor, Port Dickson, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 6:12 AM