PUTERI Sarah
PUTERI Sarah
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah mendedahkan pernah berdepan dengan buli siber yang menganggu kesejahteraan dan kesihatan mentalnya sehingga memberi impak terhadap rumah tangganya. 

Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia enggan membiarkan pembuli-pembuli siber itu untuk terus membelenggu dirinya dan menjejaskan keluarganya.

"Sebelum ini saya sering diganggu oleh pembuli siber yang mana mereka sebenarnya tidak gembira dengan hidup mereka, jadi mengacau kita.

"Dulu saya sering menerima mesej kiriman peribadi di Instagram, lantas menganggu mood saya dan membuatkan saya berfikir bukan-bukan sehinggakan saya dan suami bergaduh. Itu modus operandi mereka.

"Ketika mula-mula dibuli secara siber, saya tidak memahami lagi apa tujuan mereka. Namun, kini saya lebih mengetahui dan enggan membiarkan mereka berterusan mengawal kesihatan mental saya," kata Sarah.

Sarah meluahkan mengenai kemelut rumah tangga yang dihadapinya menerusi perkongsian di platform digital.

Kisah rumah tangga Sarah dan suami iaitu Syamsul Yusof kembali menjadi perhatian baru-baru ini apabila dia mendedahkan rumah tangganya diganggu orang ketiga iaitu Ira Kazar.

Selama empat tahun memendam rasa, kata Sarah dia kini lebih tenang selepas membuat luahan tersebut.

"Ada yang bertanya kenapa kena cerita, ini kerana saya sudah malas hendak menyimpan seorang diri sehingga menganggu kesihatan mental saya. Malah, saya menjadi seperti 'psiko' dan melepaskan kepada anak-anak.

"Kasihan apabila anak-anak menjadi tempat pelepas amarah. Apatah lagi, Syaikhul berusia dua tahun ketika itu dan tidak tahu apa-apa lagi. 

"Apa pun, saya tidak mahu menutup komen di dm atau ruangan komen kerana tidak mahu pihak sana melihat saya sebagai takut," kata Sarah.

Untuk rekod Sarah dan Syamsul berkahwin pada Mac 2014, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Summayah, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 3:29 PM