GAMBAR kenangan sebelum melakukan aktiviti air lasak.
GAMBAR kenangan sebelum melakukan aktiviti air lasak.
Suliati Asri


36 pelajar Bacelor Sains Taman dan Rekreasi, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) dalam sukan air lasak menerusi penganjuran program Rekreasi Inklusif yang diadakan di RiverBug, Gopeng, Perak, baru-baru ini.

Membabitkan lima peserta OKU, program itu diadakan bagi memberi pendedahan aktiviti rekreasi lasak kepada golongan berkenaan selain meningkatkan kemahiran pelajar untuk menyantuni golongan itu ketika berekreasi.

Pengarah Program, Muhammad Fakhrul Azim Muhammad Nizam, 23, berkata program itu meningkatkan nilai inklusif dalam kalangan masyarakat terhadap setiap individu.

"Penganjuran program ini juga adalah amali dua kursus kami iaitu Kursus Rekreasi Terapeutik bagi Golongan Istimewa dan Kursus Pengurusan Risiko dalam Rekreasi.

"Oleh itu, ini adalah pengalaman berharga buat kami dalam menyantuni peserta OKU bersama orang awam yang kami terima melalui persatuan OKU.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan UPM, Dr Mohd Aswad Ramlan berkata, langkah yang diambil untuk membabitkan OKU dalam aktiviti rekreasi dapat membina jambatan bagi memastikan setiap individu tanpa mengira kekurangan berasa diterima dan dihargai dalam masyarakat.

Katanya yang juga penyelidik dalam bidang rekreasi terapeutik di UPM, aktiviti rekreasi bukan semata-mata mengenai keseronokan, tetapi ia adalah medium kepekaan masyarakat terhadap kepelbagaian individu dalam komuniti.

"Dengan mengambil langkah kecil untuk membabitkan OKU dalam aktiviti rekreasi, ia tidak hanya memberi peluang sama kepada mereka tetapi juga membina kelompok masyarakat yang Madani, inklusif dan bertanggungjawab.

"Langkah ini penting dalam membangunkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan OKU dan membuka ruang bagi mereka untuk terbabit secara aktif dalam kehidupan komuniti," katanya.

Penganjuran program ini juga secara tidak langsung menyokong Pelan Strategik UPM 2021-2015 Matlamat 1 iaitu melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 7:00 AM