MENIKMATI keindahan marin.
MENIKMATI keindahan marin.
Muhamaad Razis Ismail


TERDAPAT lebih 30 kawasan selam skuba kepada peminat aktiviti ini di Pulau Tioman, Pahang.

Sebahagian besar lokasi selaman ini terletak berhampiran Kampung Salang yang juga kawasan kampung paling hujung di pulau ini.

Antara kawasan yang popular di pulau ini ialah Renggis, Batu Malang, Cebeh, Tulai dan Labas.

Ahli Komiti Persatuan Penyelam Amatur Malaysia atau dikenali 'Paos Diver', Zulfadli Mohd Fadil berkata, sebagai antara destinasi popular untuk aktiviti selam skuba, Pulau Tioman menjanjikan landskap bawah laut yang indah.

KAWASAN selaman menarik ramai penyelam dalam dan luar negara.
KAWASAN selaman menarik ramai penyelam dalam dan luar negara.

"Setiap lokasi selaman mempunyai keunikan tersendiri sehingga berjaya menarik kehadiran penyelam di dalam mahupun luar negara.

"Ia bukan sahaja sesuai kepada mereka yang berpengalaman malah individu yang baru berjinak-jinak boleh melakukan selaman di sini," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebagai lokasi yang paling hujung di Pulau Tioman, Kampung Salang dan kawasan selaman ini terletak jauh dari laluan bot dan kapal.

"Jadi, tidak hairan jika kawasan ini mempunyai banyak terumbu karang yang masih terpelihara dan menjadi 'rumah' kepada hidupan hidupan laut.

IKAN singa antara hidupan ditemui di sini.
IKAN singa antara hidupan ditemui di sini.

"Penyelam dapat melihat pelbagai spesies batu karang yang unik seperti 'hard coral brain,' 'table soft coral,' 'whip,' 'fire coral' dan macam-macam lagi dengan lebih dekat berbanding aktiviti bersnorkel," katanya.

Selain itu, terdapat banyak lokasi selaman di Pulau Tioman dan setiap kawasan mempunyai kedalaman serta landskap yang berbeza.

"Untuk mereka yang baru berjinak-jinak, pulau ini khususnya Salang, sesuai untuk dijadikan destinasi atau rumah baru untuk melakukan aktiviti ini.

"Anda yang mencari cabaran baru, di sini juga terdapat kawasan selaman yang mempunyai kedalaman dan tinggalan kapal karam untuk diterokai.

"Bagi yang tidak mempunyai lesen, tetapi ingin merasai pengalaman selam skuba, terdapat program yang diberi kebenaran Professional Association of Diving Intructors (PADI) iaitu 'Discovery Scuba Diving," katanya.

Jelasnya, untuk ke Pulau Tioman, terdapat dua jeti yang menyediakan perkhidmatan feri ke sini iaitu di Jeti Mersing, Johor dan Jeti 'Tioman Harbour' di Teluk Gading, Pahang.

"Dari jeti ini untuk ke Pulau Tioman mengambil masa dua jam perjalanan menggunakan perkhidmatan feri," katanya.

Untuk melakukan aktiviti selam skuba di sini terdapat banyak pusat selam skuba yang menyediakan pelbagai pakej.

"Mereka akan menyediakan bot ke kawasan selaman berserta kelengkapan yang diperlukan.

"Jika penyelam tinggal di Kampung Salang, jarak ke kawasan selaman tidak jauh, kebanyakan kawasan selaman hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit perjalanan menggunakan bot laju," katanya.

Zulfadli berkata, untuk melakukan aktiviti ini, paling penting ialah aspek keselamatan.

HIDUPAN marin.
HIDUPAN marin.

"Kesihatan tubuh badan amat dititikberatkan. Selain itu, kelengkapan selaman juga perlu diperiksa supaya berada dalam keadaan baik.

"Sebelum menyelam di sini, penyelam perlu meminta nasihat mengenai kawasan selaman dari penyelam profesional yang akan menjadi pemandu pelancong anda di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 6:21 AM