MUHAMMAD Abdullah miliki kepakaran menembak.
MUHAMMAD Abdullah miliki kepakaran menembak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SIAPA kata ustaz cuma tahu berceramah. Lihatlah Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin, 43, dia bukan saja seorang daripada 10 pakar selaman tahap course director di dunia malah mampu menerbangkan pesawat Cessna.

Bukan itu saja, Ustaz Muhamad Abdullah juga handal menunggang kuda, menembak selain memanah.

Semua ilmu itu dikumpulnya dalam tempoh 21 tahun.

“Saya seorang yang sukakan cabaran dan sentiasa mempelajari ilmu baharu. Bagaimanapun, saya lebih fokus kepada aktiviti memanah, berenang dan menunggang kuda kerana ia tuntutan sunnah serta mengikut saranan Rasulullah SAW.

“Saya berusaha untuk meningkatkan ilmu memanah dan berenang kepada menembak serta menyelam kerana ia seiring dengan perubahan zaman selain memang bermanfaat,” katanya.

BERKEBOLEHAN menerbangkan pesawat Cessna.
BERKEBOLEHAN menerbangkan pesawat Cessna.

Ustaz Muhamad Abdullah memiliki lesen menyelam profesional course director (Keselamatan Awam) daripada Amerika Syarikat (AS) malah dia juga diiktiraf sebagai Komandan Selaman Keselamatan Awam pada 2017.

Menurut Ustaz Muhamad Abdullah, dia terbabit secara serius dalam dunia selaman kerana mahu membangunkan bidang berkenaan untuk kepentingan masyarakat Islam.

USTAZ Muhammad Abdullah (kanan) bersama penyelam  luar negara.
USTAZ Muhammad Abdullah (kanan) bersama penyelam luar negara.

“Setakat ini, saya melatih kira-kira 1,000 jurulatih selaman dan mahu melahirkan lebih ramai golongan ini dalam kalangan orang Islam.

“Ini adalah perjuangan jihad saya dan berharap segala impian ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Menurut Ustaz Muhamad Abdullah, dia juga tidak menyangka akan dianugerahi lesen tahap tertinggi course director dalam bidang selaman kerana sebelum ini, dia hanya berfikir lebih memadai berada pada tahap jurulatih.

“Namun, segalanya mula berubah pada 2014 ketika saya membawa rakyat Malaysia melancong ke Palestin.

“Saya dihalang masuk ke Palestin oleh Israel apabila mereka mengetahui saya turut membawa bantuan untuk rakyat Palestin,” katanya.

USTAZ Muhammad Abdullah menyelam dalam gua di luar negara.
USTAZ Muhammad Abdullah menyelam dalam gua di luar negara.

Ustaz Muhamad Abdullah berkata, sementara menunggu rakyat Malaysia menghabiskan percutian di Palestin, dia mengambil peluang menyelam di sekitar laut Mesir dan Cyprus.

“Saya kemudiannya mengambil lesen lanjutan selaman di Mesir, Cyprus dan Sepanyol sebagai jurulatih.

“Pada 2016, saya lulus ujian bagi mendapatkan lesen course director. Rezeki berganda apabila turut dibenarkan memasuki Palestin.

“Rupa-rupanya halangan memasuki Palestin sebelum ini kerana Allah SWT mahu saya mendalami ilmu selaman pada tahap tertinggi Coure Director dan Komandan Selaman Keselamatan Awam),” katanya yang pernah menyelam pada kedalaman 120 meter.

USTAZ Muhamad Abdullah mengajar kelas Menyelam Keselamatan Awam.
USTAZ Muhamad Abdullah mengajar kelas Menyelam Keselamatan Awam.

Menurutnya, seperti penyelam lain, dia juga pernah melalui pengalaman buruk terhempas di batu karang menyebabkannya mengalami kecederaan selain terpaksa solat di atas kerusi selama sebulan.

“Malah, kedua-dua tangan saya juga cedera parah terkena duri batu karang pada 2009,” katanya.

Bagi aktiviti berkuda, katanya, kebolehan dimilikinya bukan untuk menyertai pertandingan, tetapi sebagai hobi mengembara.

MENUNGGANG kuda di Uzbekistan.
MENUNGGANG kuda di Uzbekistan.

“Saya pernah mengembara menunggang kuda selama lima hari di kawasan tujuh keajaiban dunia iaitu di Petra, Jordan,” katanya.

Selain itu, katanya, dia memiliki lesen menembak profesional daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerap menyertai pertandingan anjuran PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 8:01 AM