PERCUTIAN bersama komuniti rekreasi.
PERCUTIAN bersama komuniti rekreasi.
Hafiz Ithnin


APABILA menyebut mengenai destinasi pulau di Perak, pastinya nama Pulau Pangkor antara yang popular dalam kalangan pelancong.

Malah, di Pulau Pangkor juga mempunyai pelbagai kemudahan untuk pelancong menikmati suasana santai mereka mengikut bajet tersendiri.

Di Pulau Pangkor sendiri misalnya Teluk Nipah dan Pasir Bogak sering menjadi destinasi pilihan kerana ia antara nama yang agak popular jika bertandang ke sana.

Baru-baru ini rakan penulis, Muizzuddin Maksah mencari kelainan mengunjungi Pulau Pangkor bersama komuniti Santrav dengan menerokai lokasi yang jarang dikunjungi pelancong di pulau itu.

Terletak di kawasan yang agak terpencil di Pulau Pangkor, Pantai Teluk Segadas menjadi pilihan Muizz untuk melakukan aktiviti perkhemahan bersama 30 peminat aktiviti rekreasi tempatan di lokasi itu.

Muizzuddin berkata, Pantai Teluk Segadas tidak seperti lokasi komersial yang lain di Pulau Pangkor seperti di Teluk Nipah yang mempunyai deretan resort.

"Pantai Teluk Segadas adalah sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti perkhemahan dan sedikit privasi kerana ia terletak agak jauh dengan kawasan tarikan utama di Pulau Pangkor.

"Kami menggunakan perkhidmatan operator tempatan yang menyediakan perkhidmatan perkhemahan selama tiga hari dua malam di lokasi ini dengan bayaran RM220 seorang untuk pakej lengkap selama tiga hari dua malam," katanya.

Antara yang disediakan operator termasuk tapak khemah, makanan (lapan kali), aktiviti berkayak dan kemudahan bot pergi dan balik dari jeti nelayan bersebelahan Jeti Marina di Lumut ke lokasi berkenaan.

MENIKMATI percutian seperti berada di lokasi persendirian.
MENIKMATI percutian seperti berada di lokasi persendirian.

Bagi Muizzuddin, bayaran itu dilihat cukup berbaloi kerana ia menawarkan pengalaman yang berbeza apabila mengunjungi Pulau Pangkor.

Katanya, di Pantai Teluk Segadas sendiri yang terletak agak jauh dengan lokasi lain sememangnya mendekatkan pelancong dengan alam semula jadi. Justeru, ia sesuai bagi mereka yang gemarkan percutian seperti itu.

Jelasnya, dia juga terpesona dengan kejernihan air pantai di lokasi itu yang cukup jernih meskipun ia terletak di Selat Melaka.

"Kebiasaannya apabila kita mengunjungi pulau di Selat Melaka, airnya tidak begitu jernih, tetapi di sini saya seakan-akan menikmati pesona pantai di kepulauan Laut Cina Selatan.

MENIKMATI juadah makan malam yang pelbagai.
MENIKMATI juadah makan malam yang pelbagai.

"Mungkin di Pantai Teluk Segadas ini tidak ramai orang yang mengunjunginya. Jadi, keadaannya masih bersih dan sesuai bagi mereka yang gemarkan ketenangan," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh dia bersama rakan-rakan Santrav (@santuytravellers) bercuti di destinasi itu, terasa seperti berada di tapak percutian persendirian kerana tiada kunjungan pelancong lain selain mereka.

 MENDAKI bukit untuk menikmati panorama matahari terbit.
MENDAKI bukit untuk menikmati panorama matahari terbit.

MUIZZUDDIN menikmati percutian secara perkhemahan di Pantai Teluk Segadas.
MUIZZUDDIN menikmati percutian secara perkhemahan di Pantai Teluk Segadas.

"Jika hendak bercuti ke destinasi ini pastikan mempunyai jadual aktiviti supaya tidak berasa bosan kerana di sini tidak seperti di Teluk Nipah.

"Jadi, saya bersama rakan-rakan sudah mengatur jadual aktiviti dari awal lagi kerana di sini menjadi destinasi kami untuk berkhemah, bersantai menikmati kopi dan mempelajari aktiviti perkhemahan kerana ada antara rakan-rakan yang tidak pernah bercuti dalam segmen ini, malah ada segelintir yang baru pertama kali tidur dalam khemah," katanya.

Tambahnya lagi, memandangkan Pantai Teluk Segadas terletak begitu hampir dengan alam semula jadi seperti hutan, ada aktiviti lain yang boleh dilakukan antaranya mendaki untuk melihat matahari terbit.

"Ada juga kejadian apabila makanan kami kerap dicuri monyet liar. Namun, ia menjadikan kami lebih berhati-hati jika ingin keluar dari khemah supaya barangan berharga tidak dilarikan haiwan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 7:00 AM