PENDAKI disajikan dengan pemandangan menakjubkan.
PENDAKI disajikan dengan pemandangan menakjubkan.
Muhamaad Razis Ismail


BAGI peminat aktiviti mendaki, Gunung Tahan sentiasa berada dalam senarai antara gunung 'wajib' ditawan terutama kepada yang ingin melengkapkan senarai tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia (G7).

Jadi tidak hairanlah gunung yang mempunyai ketinggian 2187 Meter (7175 Kaki) di Taman Negara ini menjadi lokasi pilihan peminat aktiviti mendaki di dalam dan luar negara.

Terdapat dua jenis laluan pemula yang boleh dipilih iaitu laluan Kuala Tahan dan Merapoh/Sungai Relau.

Untuk menawan puncak gunung ini tidak mudah kerana pendaki diuji fizikal dan mental kerana keadaan trek yang berbeza-beza termasuk laluan landai, berakar dengan kecuraman sehingga 90 darjah, meredah sungai, jalan berlumpur serta dipenuhi dengan batu.

Biarpun begitu, sepanjang perjalanan, pendaki berpeluang menikmati keindahan pelbagai flora dan fauna antaranya pokok orkid, lumut, bonsai, batu kristal serta cendawan berwarna oren berbentuk bulat seperti bola pingpong

Pada 16 Jun lalu, Shasha Zurazie Salman yang juga pengasas Team Newbie Hikers & Outdoor Recreation (TNH Outrec) menganjurkan aktiviti mendaki Gunung Tahan melalui Merapoh membabitkan 20 peserta selama empat hari tiga malam.

KEINDAHAN matahari terbit di puncak gunung.
KEINDAHAN matahari terbit di puncak gunung.

Dia bersama rakan bertolak sehari lebih awal dengan kereta dari Johor Bahru, Johor menuju ke Merapoh, Pahang membabitkan perjalanan selama 8 jam 40 minit.

"Kami tiba awal pagi dan selepas solat Subuh, kami bersarapan dan meletakkan kereta di Pejabat Taman Negara.

"Selepas pemeriksaan barangan dan peralatan, kami menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan Taman Negara sehingga ke Kuala Juram untuk memulakan pendakian ke puncak tertinggi Semenanjung Malaysia," katanya.

Katanya, dia bersama peserta yang memulakan pendakian dari Kuala Juram perlu merentasi empat anak sungai sebelum tiba di Kem Lata Luis.

SHASHA Zurazie.
SHASHA Zurazie.

"Perjalanan semakin mencabar sehingga tiba ke Kem Kor untuk bermalam kerana kebanyakan pendaki perlu membawa beban antara 10 hingga 15 kilogram.

"Kem Kor yang berada pada ketinggian 750 meter dari aras laut menjadi lokasi tumpuan pendaki kerana mempunyai sumber air mencukupi dan kawasan ini mampu memuatkan lebih 100 orang pada satu-satu masa," katanya.

Menurutnya, pada keesokan hari perjalanan diteruskan ke Kem Kubang yang terletak 3.5 kilometer (km) dari Kem Permatang dengan trek terus mencanak dan menegak.

"Kami perlu menempuhi pendakian melalui Kem Belumut dan Kem Bonsai dengan trek yang sentiasa becak serta selut disebabkan faktor kelembapan selain suhu di situ," katanya.

PESERTA teruja memulakan ekspedisi Gunung Tahan.
PESERTA teruja memulakan ekspedisi Gunung Tahan.

Tambahnya, dengan kudrat dikerah dan semangat yang tinggi akhirnya mereka tiba di Kem Botak yang berketinggian 1,934 Meter dari aras laut.

"Kesejukan bermalam di Kem Botak yang lapang dan berangin dirasai sehingga ke tulang. Apa tidaknya suhu di sini pernah direkodkan adalah serendah lapan hingga 21 darjah Celcius.

"Biarpun tidur dengan baju sejuk dan 'sleeping bag,' kesejukannya masih lagi terasa," katanya.

Pada hari ketiga, seawal 8 pagi, mereka meneruskan perjalanan ke puncak dengan jarak 2 km membabitkan perjalanan kurang sejam.

BEREHAT sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
BEREHAT sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

"Sebaik tiba di puncak Gunung Tahan, kami hanya mampu mengucap kata-kata syukur apabila dihidangkan dengan keindahan matahari terbit dikelilingi awan karpet.

"Menghirup udara segar di puncak dengan pemandangan yang sangat indah sehingga saya lupa seketika segala kepayahan, kesakitan dan kesengsaraan sepanjang pendakian.

"Selepas sejam menjamu mata dan merakamkan gambar kenangan, kami turun semula ke Kem Botak untuk mengemas beg serta terus bergerak turun ke Kem Kor untuk malam terakhir. Pada hari terakhir, semua peserta berjaya menamatkan ekspedisi menawan Gunung Tahan di Kuala Juram dengan selamat," katanya.

Pengerusi Persatuan Pendaki Gunung Amatur Malaysia (PPGAM) itu berkata, Gunung Tahan memiliki keunikan dari flora dan fauna selain menguji kekuatan fizikal dan mental pendaki.

PESERTA mengabadikan kenangan di puncak Gunung Tahan.
PESERTA mengabadikan kenangan di puncak Gunung Tahan.

"Oleh itu, saya nasihatkan, pendaki perlu menjalani latihan untuk membina kekuatan stamina sekurang-kurangnya sebulan sebelum pendakian.

"Peralatan dan barang kelengkapan perlu mencukupi dan pada masa sama sentiasa rujuk kepada malim gunung, jika terdapat sebarang keraguan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 6:40 AM