PEMANDANGAN menarik sepanjang berkayuh dari benua Eropah ke Malaysia pada 2018.
PEMANDANGAN menarik sepanjang berkayuh dari benua Eropah ke Malaysia pada 2018.
Muhamaad Razis Ismail

Kini, aktiviti berbasikal sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Di mana sahaja terutama pada hujung minggu kita dapat melihat pelbagai lapisan usia menjadikan aktiviti ini sebagai hobi sama ada bersama keluarga, rakan atau pun secara sendirian.

Minat mendalam terhadap aktiviti sihat ini, mendorong individu tertentu berbelanja besar sehingga puluhan ribu ringgit untuk memiliki basikal kualiti.

Berbeza dengan pemuda berusia 30 tahun ini, yang menggunakan basikal sebagai pengangkutan untuk mengembara ke seluruh pelusuk dunia.

Kini, Muhammad Amir Arsad berbasikal sendirian untuk mencapai misinya mengelilingi Semenanjung sejak hujung Ogos lalu.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini memulakan kayuhannya dari Shah Alam, Selangor dan ketika temu bual dijalankan menerusi telefon, dia kini berada di Chukai, Terengganu selama beberapa hari.

BERSAMA dua rakan ketika mengembara dari Croatia ke Malaysia
BERSAMA dua rakan ketika mengembara dari Croatia ke Malaysia

BERPELUANG menjelajah Terengganu.
BERPELUANG menjelajah Terengganu.

Ini bukanlah pengalaman pertamanya, kerana sebelum ini dia pernah mengembara bersama dua rakannya dari Croatia pulang ke Malaysia dengan basikal pada tahun 2018 dan mengelilingi Korea Selatan pada tahun lalu.

Lebih menarik, dia yang juga seorang YouTuber sepenuh masa turut berkongsi perjalanan pengembaraannya di saluran itu yang kini sudah memiliki lebih 67,000 pengikut.

Berkongsi cerita, Muhammad Amir berkata, pada awalnya dia merancang untuk kembali mengembara di luar negara dengan basikal.

Bagaimanapun, disebabkan penularan pandemik Covid-19, dia terpaksa menangguhkan sementara perancangan itu dengan mengembara mengelilingi negara saja.

"Saya fikir pada masa sekarang lebih sesuai mengembara di dalam negara kerana banyak perkara menarik yang belum diketahui.

"Tambahan pula, sebagai seorang pencipta kandungan, saya perlu keluar untuk 'bekerja' untuk saluran YouTube saya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, beliau memulakan perjalanan dari Shah Alam, Selangor pada Ogos lalu sebelum menuju ke negeri di Pantai Barat.

"Kemudian, saya akan menjelajah negeri di Pantai Timur, ke Utara dan akan kembali menamatkan kayuhan di Shah Alam. Kini, saya masih berada di Chukai, Terengganu selama beberapa hari.

"Sebenarnya, saya sendiri tidak menetapkan tempoh tertentu untuk menamatkan kayuhan ini kerana tidak mahu terikat dengan masa. Kadang-kala, di satu-satu tempat itu, saya akan tinggal selama beberapa hari untuk berehat dan membuat suntingan untuk YouTube," katanya.

Tambahnya, beliau sangat menggemari laluan pantai kerana bentuk muka bumi yang lebih landai.

BERSAMA basikal yang digunakan untuk mengembara mengelilingi Semenanjung Malaysia.
BERSAMA basikal yang digunakan untuk mengembara mengelilingi Semenanjung Malaysia.

ANTARA lokasi menarik yang dilalui sepanjang pegembaraan.
ANTARA lokasi menarik yang dilalui sepanjang pegembaraan.

"Keadaan ini dapat menjimatkan tenaga selain dapat menikmati keindahan pemandangan pantai," katanya.

Jelasnya sepanjang mengembara dengan basikal, beliau berdepan banyak pengalaman yang tidak dilupakan antaranya bertemu dengan ramai pelanggan YouTubenya.

"Ada yang sanggup tumpangkan saya tinggal di rumah mereka dan belanja penginapan di hotel. Paling tidak boleh saya lupakan apabila ada yang sanggup ke kedai makan untuk belikan kopi ais ketika saya sedang mengayuh basikal.

"Saya sangat terharu dengan mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan di YouTube sekali gus menaikkan semangat untuk menghasilkan kandungan lebih baik," katanya.

Malah dia mengakui berdepan cabaran berbeza apabila berkayuh ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.

"Selain cuaca yang tidak menentu, pada ketika ini jumlah kes semakin meningkat dan terdapat beberapa kawasan ditutup serta berisiko sekali gus mengehadkan pergerakan.

TERUJA menjelajah negara.
TERUJA menjelajah negara.

"Oleh itu, saya perlu sentiasa berhati-hati dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk elakkan terkena jangkitan," katanya.

Ditanya mengapa memilih mengembara dengan basikal, bekas peguam ini mengakui pengangkutan itu lebih menjimatkan kos selain kos penyelenggaraan lebih murah berbanding kenderaan lain.

"Selain itu, dengan pergerakan yang lebih perlahan, kita berpeluang untuk menikmati keindahan di sesuatu kawasan.

"Lepas itu mungkin orang kata ini alasan agak 'poyo' tapi kebenaran yang tidak boleh dinafikan basikal baik untuk alam sekitar," katanya yang merancang untuk mengembara ke Jepun dan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 7:00 AM