CUACA panas terik dan arus sungai yang kuat antara cabaran yang dihadapi peserta.
CUACA panas terik dan arus sungai yang kuat antara cabaran yang dihadapi peserta.
Ummu Farah Haidar


EKSPEDISI Dayungan Santai dari Kuala Kangsar ke Teluk Intan, Perak, baru-baru ini bukan sahaja menyajikan keindahan panorama sepanjang laluan sungai malah turut menguji kemampuan fizikal dan mental peserta.

Program kayuhan sepanjang Sungai Perak itu membabitkan laluan sepanjang 110 kilometer (km) yang mengambil masa dua hari iaitu pada 6 dan 7 Januari lalu.

Biarpun tampil dengan imej lengkap berjubah, tudung labuh serta berniqab namun ia tidak menghalang penulis untuk menyahut cabaran menyertai ekspedisi itu.

Ekspedisi bermula dari Kampung Manong, Kuala Kangsar dan semua peserta memulakan dayungan seawal jam 7.30 pagi bergerak menuju ke Pasir Salak.

Dayungan kami menjadi sedikit mencabar kerana cuaca (panas terik dan hujan menjelang petang) selain arus pergerakan air serta jarak perjalanan yang agak panjang iaitu dianggarkan mencecah 70 km.

Tambahan pula, penulis diberikan kayak jenis 'single sit-on-top,' kayak yang biasa digunakan untuk dayungan jarak pendek atau latihan, bukannya ekspedisi yang memakan masa lebih panjang.

Apabila digunakan untuk ekspedisi (dalam jarak panjang) proses dayungan menjadi sedikit mencabar dan memerlukan kudrat yang tinggi.

Malah dua kayak 'double sit-on-top' yang dinaiki peserta turut terbalik ketika ekspedisi dan proses menyelamat dilaksanakan segera.

PANORAMA indah sepanjang laluan Ekspedisi Dayungan Santai di Sungai Perak.
PANORAMA indah sepanjang laluan Ekspedisi Dayungan Santai di Sungai Perak.

Peserta berhenti untuk menunaikan solat jamak di sebuah kawasan yang dinamakan Padang Kerbau.

Selepas berjaya melepas beberapa cabaran, semua peserta akhirnya tiba di Pasir Salak sebelum Maghrib dan bermalam di salah sebuah chalet inap desa yang disediakan penganjur.

Pada hari kedua, penulis ditukarkan untuk mendayung kayak 'double sit-on-top' kerana pertambahan peserta menjadikan dayungan pada hari berkenaan lebih mudah apatah lagi membabitkan kudrat dua orang.

Lebih menyeronokkan, jarak kayuhan pada hari berkenaan juga agak pendek iaitu sekitar 40 km sahaja.

PENULIS diberikan kayak jenis ‘single sit-on-top,’ kayak yang biasa digunakan untuk dayungan jarak pendek atau latihan pada hari pertama ekspedisi.
PENULIS diberikan kayak jenis ‘single sit-on-top,’ kayak yang biasa digunakan untuk dayungan jarak pendek atau latihan pada hari pertama ekspedisi.

Sepanjang perjalanan dari Pasir Salak ke Teluk Intan, kami disajikan dengan pemandangan indah kampung di pesisir sungai selain lokasi bersejarah lain yang menjadi tarikan pelancongan. Antaranya Madrasah Bumbung Lima atau dikenali sebagai Surau Latiffiah di Kampung Bandar Tua, Pasir Salak.

Ia dikatakan sebagai salah satu tempat penyebaran Islam di daerah Perak Tengah.

Kami turut melalui Makam Sultan Muhammad Syah iaitu Sultan Perak ke-14.

Selain itu juga, ketika menghampiri destinasi akhir dayungan peserta berpeluang melihat dengan dekat Pulau Bangau yang juga salah satu lokasi tarikan pelancong di Teluk Intan.

PESERTA tidak ketinggalan menunaikan kewajipan di Padang Kerbau.
PESERTA tidak ketinggalan menunaikan kewajipan di Padang Kerbau.

Pulau Bangau didiami pelbagai jenis bangau, burung helang dan juga enggang.

Namun, penulis difahamkan ia dinamakan Pulau Bangau kerana majoriti populasi terdiri daripada pelbagai spesis bangau.

Apa yang menariknya kebanyakan bangau di sini adalah daripada spesis bangau paya dan bangau yang mempunyai bulu berwarna gelap.

Ia berbeza dengan bangau yang lazim dilihat di kawasan sawah dan tempat lain yang kebiasaannya berwarna putih.

TAKLIMAT sebelum pelepasan.
TAKLIMAT sebelum pelepasan.

Keadaan cuaca yang mendung dan arus sungai yang baik membantu peserta kayak untuk berkayuh dengan selesa.

Kami berjaya menyempurnakan ekspedisi sebelum masuk waktu Zuhur dalam keadaan selamat.

Bagi penulis, imej Muslimah yang ditampilkan diharap dapat menjadi salah satu wasilah dakwah kepada penggiat sukan lasak dan rekreasi wanita di negara ini.

Ekspedisi itu juga adalah pengalaman yang berharga kerana ia adalah pertama kali bagi penulis mendayung sehingga 110 km di kawasan sungai.

Sebelum ini penulis berpengalaman mendayung di Laut China Selatan iaitu ke lapan pulau di Terengganu melebihi jarak 100 km.

PESERTA menerima sijil penyertaan.
PESERTA menerima sijil penyertaan.

Apapun bagi penulis, ekspedisi itu bukan sahaja dapat mendedahkan diri kepada cabaran fizikal dan mental ketika berada di kawasan sungai malah berpeluang mengenali banyak lokasi bersejarah yang ada di sepanjang Sungai Perak serta menikmati pemandangan yang cukup indah.

Ia sememangnya memberi pengalaman berharga dan mengingatkan penulis betapa agungnya kuasa yang Esa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 6:20 AM