WAN Noor Suhaila meraikan kejayaan di tanduk unicorn.
WAN Noor Suhaila meraikan kejayaan di tanduk unicorn.
Wan Noor Suhaila Wan Kamarudin


Bagi penggemar aktiviti mendaki dan larian denai, 'Unicorn Trail' yang terletak di sekitar Bukit Bendera, Pulau Pinang bukanlah asing bagi mereka yang inginkan cabaran dan kelainan.

Laluan ini dihasilkan pendaki-pendaki di Pulau Pinang yang menggunakan Global Positioning System (GPS) sehingga berjaya membentuk haiwan mitos iaitu kuda yang memiliki tanduk yang dikenali sebagai unicorn bagi melengkapkan laluan itu.

Laluan sepanjang 26 kilometer dan ketinggian hampir mencecah 1,500 meter serta memiliki pelbagai bentuk muka bumi yang mencabar, 'Unicorn Trail' mampu menguji fizikal dan mental pendaki.

Pada Disember tahun lalu, penulis bersama dua rakan, Mohd Faiz Nadzri dan Mohd Azlan Talib ke laluan 'Unicorn Trail' sebagai latihan untuk menyertai siri acara perlumbaan larian denai akan datang.

Seawal jam 5 pagi, penulis bersama rakan memulakan perjalanan dari Simpang Empat, Semanggol, Perak dengan kereta menuju ke Pulau Pinang.

Perjalanan sejauh 90km mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke titik mula yang dipanggil sebagai 'lower station' untuk memulakan aktiviti. Selesai solat Subuh, kami memulakan perjalanan pada jam 7 pagi.

Untuk aktiviti laluan 'Unicorn Trail' ini kami hanya berpandukan data GPS yang dimuat naik ke dalam jam pintar untuk mengelakkan tersesat jauh daripada laluan sebenar.

Perlu diingat, di sini, terdapat banyak laluan pendakian di sekitar kawasan berhampiran. Beberapa kali juga penulis tersasar dari laluan sebenar. Mujurlah jam pintar yang kami gunakan memberikan amaran awal supaya kami tidak tersasar lebih jauh.

DIHIDANGKAN pemandangan matahari terbit dari stesen 39.
DIHIDANGKAN pemandangan matahari terbit dari stesen 39.

Sepanjang ekspedisi ini, kami dihidangkan pelbagai bentuk muka bumi yang menguji kekuatan fizikal dan mental.

Di sini terdapat banyak laluan yang sukar dan curam terutamanya untuk mendapatkan bentuk tanduk. Untuk laluan ini, kami terpaksa menuruni laluan yang curam untuk sampai di hujung tanduk unicorn.

Antara laluan mencabar termasuk laluan Hye Keat Estate menuju 'Rest stop' stesen 39, Bukit Olivia, stesen Viaduct menuju Bukit Bendera (tangga) dan laluan warisan ikonik menuju 'Penang Hill Railway Lower Station.'

Biarpun begitu, sepanjang menempuh laluan pacak dan curam, penulis dihiburkan dengan nyanyian burung, bunyi katak, bunyi riang-riang dan desiran angin yang menyapa ranting.

ANTARA pemandangan yang boleh dilihat di sepanjang ‘Unicorn Trail’.
ANTARA pemandangan yang boleh dilihat di sepanjang ‘Unicorn Trail’.

Bunyi-bunyian ini memberi ketenangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ia sangat menakjubkan.

Dalam perjalanan sebelum mendaki untuk membentuk tanduk unicorn pula, anda akan dapat melihat keindahan teratai gergasi yang mengujakan di kaki Bukit Bendera yang berdekatan dengan stesen jip.

Penulis dan rakan yang pertama kali melaksanakan ekspedisi ini berjaya melengkapkan 'Unicorn Trail' selama sembilan jam.

Secara keseluruhan, selain dari keindahan pemandangan, sebagai seorang pelari denai, penulis tertarik dengan bentuk muka bumi yang berbukit di sepanjang laluan 'Unicorn Trail.'

Biarpun begitu, bagi penulis yang sudah berkecimpung dengan aktiviti larian denai sejak tiga tahun lalu, laluan ini tidak sesuai untuk mereka yang masih baru kerana laluan denai yang sukar dan curam.

Persediaan rapi daripada segi fizikal dan mental diperlukan untuk menempuh laluan 'Unicorn Trail' yang pasti memberi kepuasan berbeza bagi penggemar aktiviti rekreasi yang dahagakan kelainan.

‘UNICORN Trail’ sepanjang 26km yang mampu menguji kekuatan fizikal dan mental pendaki.
‘UNICORN Trail’ sepanjang 26km yang mampu menguji kekuatan fizikal dan mental pendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 6:30 AM