Pelbagai pilihan makanan Halal boleh ditemui di seluruh Hong Kong dari makanan Korea, Jepun hingga Asia Tenggara. - FOTO Lembaga Pelancongan Hong Kong
Pelbagai pilihan makanan Halal boleh ditemui di seluruh Hong Kong dari makanan Korea, Jepun hingga Asia Tenggara. - FOTO Lembaga Pelancongan Hong Kong
Muhamad Shaifullah Tayep

BANDAR bertenaga yang menawarkan gabungan unik budaya Timur dan Barat, Hong Kong makin menerima pelancong daripada Malaysia.

Terkenal dengan masakan Kantonis sedap serta pilihan tempat makan antarabangsa yang pelbagai, pelancong Malaysia ke Hong Kong juga boleh menemukan restoran Kantonis halal di Hong Kong.

Sejak beberapa tahun ini, kebanjiran pelancong dari negara-negara majoriti Muslim termasuk Malaysia telah mendorong pihak berkuasa wilayah itu untuk membangunkan tarikan serta kemudahan mesra Muslim, di samping menggalakkan perniagaan restoran halal.

Dengan pertambahan bilangan pelancong saban tahun, Hong Kong menambah pilihan makanan halal di Islamic Centre Canteen seperti itik panggang, pencuci mulut dan banyak lagi.

Menyajikan pilihan dim sum Halal terbesar, Islamic Centre Canteen terletak di dalam masjid dan hanya 10 minit daripada Stesen MTR Causeway Bay.

Menyediakan suasana restoran yang meriah, pengunjung boleh memilih pelbagai pilihan dim sum kukus atau goreng.

Selain itu, pengunjung juga boleh memilih 'Siu Mai' kukus yang lembut berisi ayam dan 'Har Kow' juga merupakan pilihan terbaik buat penggemar dim sum kukus.

Isinya tidak dicurah ke atas ladu, kerana ia diisi sehingga penuh dan kulitnya tidak terlalu tebal.

Penggemar wantan udang goreng juga patut ke Islamic Centre Canteen kerana ia antara yang terbaik, selain dim sum goreng juga sering menerima pujian dalam kalangan pelancong Malaysia.

Penggemar gulai daging juga patut mencuba gulai daging di Islam Food Hong Kong kerana ia diakui lazat oleh penduduk tempatan sehingga boleh cair dalam mulut.

Selain gulai daging, Islam Food juga menyajikan sup ladu daging lembu, kambing kari atau lempeng daun bawang yang lazat dan kenyal.

Lempeng daun bawang sajian Islam Food kelihatan seperti roti prata di Malaysia, namun lebih berperisa dan penuh.

Image

Hong Kong juga mempunyai kedai itik panggang Halal iaitu Wai Kee Roast Duck yang terletak hanya tujuh minit dari Stesen Causeway Bay dan Islamic Centre Canteen.

Menjadi satu-satunya gerai yang menghidangkan itik panggang halal di Hong Kong, ia adalah antara yang terbaik di Hong Kong dan turut diakui penduduk tempatan untuk mencuba nasi itik yang lazat.

Sekiranya anda berkunjung ke Islam Food, pastikan anda mencuba mi wantan yang kenyal, berperisa dan berjus, selain nasi kari kambing dengan rasa tersendiri dan nasi ayam kicap dengan sos penuh berperisa.

Bagi mereka yang kesuntukan masa, pilihan makanan segera Barat mungkin lebih menepati citarasa.

Big Pizza di Wanchai Central Building, malah KFC di Chuang's London Plaza antara restoran yang menyajikan menu Barat yang diperakui halal oleh the Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong.

Selain itu, Cheeky Buns di Cochrane Street, Flamingo Frango Ltd di Elgin Street dan SAFFRON di Garley Building juga boleh dijadikan pilihan.

Sajian halal sepanjang percutian ke Disneyland

Selain Islamic Centre Canteen dan Islam Food, pelancong Malaysia ke Hong Kong patut mencuba makanan popular lain seperti sup pencuci mulut di Kai Kai Dessert.

Sama ada dihidangkan panas atau sejuk, Kai Kai Dessert menawarkan pelbagai jenis sup pencuci mulut seperti sup kacang hijau, pes bijan, telur kukus dan pes badam.

Kai Kai Dessert turut tersenarai dalam Senarai Disyorkan Michelin, pastinya anda akan menikmati makan malam menakjubkan walaupun melancong dalam masa yang singkat.

Sekiranya anda inginkan pengalaman menjamu selera menyeronokkan dan berwarna-warni, kunjungi JaJa yang terletak dalam hab kreatif Pusat Seni Hong Kong yang baharu.

Disebut sebagai 'haha', restoran gabungan Eropah baharu ini mengkhususkan dalam masakan vegetarian inovatif dengan hiasan dalaman menarik ditambah dengan pemandangan panoramik pelabuhan.

Pencinta seni boleh melihat hasil seni yang menakjubkan dan interaktif oleh artis tempatan di restoran.

Image

Sekiranya anda inginkan suasana gerai seperti di Malaysia ketika melancong ke Hong Kong, kunjungi Explorer's Club @ Disneyland yang terdiri daripada pelbagai gerai yang menyajikan pelbagai masakan dari Korea, Jepun hingga Asia Tenggara.

Anda boleh memilih untuk duduk di ruang berhawa dingin atau kawasan alfresco.

Ia turut menyediakan tempat letak kereta sorong bayi di pintu masuk, jadi anda tidak perlu risau untuk membawa kereta sorong bayi anda ke dalam restoran.

Pelbagai variasi boleh dicuba di Explorer's Club @ Disneyland seperti gabungan ikan bakar berperisa Jepun sehinggalah tulang rusuk lembu BBQ yang lazat dan asli.

Penggemar takoyaki tidak patut melepaskan peluang untuk mencuba takoyaki sebagai hidangan sampingan untuk menemani hidangan utama anda.

Berkunjung ke Hong Kong, pastikan anda mendapatkan pelbagai pilihan pencuci mulut Cina halal sebagai cenderahati di Imperial Patisserie yang menawarkan pilihan berkualiti tinggi yang dibuat mengikut resipi warisan nenek moyang dan berbeza daripada kedai roti lain.

Imperial Patisserie menawarkan pelbagai pilihan pastri yang disahkan halal oleh The Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund di Hong Kong, termasuk egg rolls, michelin palmiers dan crispy cookies.

Ia menerima pensijilan halal pada 2020 dan menghabiskan banyak masa dalam penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan setiap bahan dan pilihan pastri yang dijual mesra Muslim.

Image

Sekiranya anda ingin mencuba masakan asli India Utara ketika berkunjung ke Hong Kong, rasai kelainan di Jashan yang meraikan kepelbagaian dan budaya India.

Chef Eksekutifnya yang pernah bekerja di sebuah hotel di Delhi tampil dengan hidangan baharu untuk restoran setiap musim dengan idea dan rasa tersendiri.

Rasai hidangan istimewa, Ayam Kayu Cendana yang sememangnya enak dan merupakan salah satu kari terbaik yang pernah anda rasa.

Terokai seni bina masjid di Hong Kong

Image

Sebagai umat Islam, menjadi satu kemestian untuk setiap pelancong menghargai seni bina dan kesucian masjid di negara luar.

Justeru, beberapa masjid boleh ditemui di seluruh Hong Kong yang mencerminkan kepelbagaian penduduk di bandar itu.

Banyak perkara boleh dipelajari dan dinikmati tentang masjid-masjid di Hong Kong, selain daripada seni bina yang menakjubkan dan kepentingan keagamaannya.

Jumlah penduduk Islam di Hong Kong juga semakin meningkat dan mencecah lebih 220,000 orang, termasuk 30,000 orang Cina Muslim.

Sebanyak lima masjid boleh ditemui di Hong Kong dan masjid terbesar adalah Masjid Kowloon dan Islamic Centre yang mampu menampung kapasiti sehingga 3,500 orang, manakala masjid tertua adalah Masjid Jamia yang baru diubah suai.

Image

Sebelum meninggalkan Hong Kong, pastikan anda memanfaatkan baucar pelawat Hong Kong Goodies yang menawarkan baucar tunai untuk restoran, kedai atau aktiviti, serta hadiah eksklusif dari destinasi atau muzium kegemaran yang bernilai Dolar Hong Kong 100.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 12:34 PM