Singapura merupakan destinasi pelancongan pilihan kebanyakan rakyat Malaysia - FOTO Hiasan
Singapura merupakan destinasi pelancongan pilihan kebanyakan rakyat Malaysia - FOTO Hiasan
Nurshafika Suhaimi

SETELAH hampir dua tahun 'berkurung' berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti pelancongan mula kembali rancak selepas kelonggaran merentas negeri dibenarkan.

Bukan sahaja pelancongan domestik, rakyat Malaysia turut tidak melepaskan peluang melakukan perjalanan ke luar negara bagi meredakan tekanan.

Antara destinasi percutian popular tahun demi tahun dalam kalangan pelancong Malaysia semestinya negara jiran paling hampir iaitu Singapura.

Meskipun ia hanyalah sebuah negara yang kecil, Singapura menawarkan pelbagai  tempat menarik bertaraf antarabangsa, sekali gus dianggap sebagai negara dunia pertama moden yang menjadi pilihan kebanyakan pelancong dari serata dunia.

Bagaimanapun, mesti ada yang masih tertanya adakah percutian ke Singapura ini sesuatu yang berbaloi kerana negara ini sememangnya antara negara paling mahal untuk dikunjungi.

Apatah lagi, dengan nilai mata wang Malaysia yang lebih rendah berbanding Singapura pasti sedikit sebanyak menyekat kemahuan mereka untuk berbelanja 'sakan'.

Namun, ini tidak bermakna rakyat Malaysia tidak boleh merasa kepuasan yang sama sambil berjimat ketika berkunjung ke Singapura.

Di sini kami kongsikan beberapa tempat boleh dilawati di Singapura dengan bajet yang berpatutan.

Tempat tarikan menarik dan percuma

ImageCanopy Park yang terletak di tingkat paling atas (L5) Jewel, mengalu-alukan pelancong dengan pelbagai tarikan permainan yang menarik. - FOTO Changi Airport Group

Mengunjungi tempat menarik di Singapura tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi, bahkan banyak tarikan percuma yang ditawarkan di negara maju ini.

Antaranya adalah Canopy Park, Lapangan Terbang Jewel Changi, Singapura yang merupakan lokasi tepat untuk anda yang tercari-cari destinasi untuk dikunjungi.

Nikmati pemandangan yang menakjubkan dan bergambar sebanyak mungkin apabila berjalan melintasi Conopy Bridge kerana ia membawa anda seolah-olah berada di dalam hutan.

Lebih menarik, anda juga berpeluang merasai pengalaman unik berjalan atau melantun sepuas hati anda di Manulife Sky Nets.

Digantung bersama jaring tegang berketinggian 25 meter dari permukaan tanah memberikan rasa ringan yang tidak dapat digambarkan.

Jangan lupa bawa anak anda mengunjungi Foggy Bowls dan rasai pengalaman menyelinap di antara kepulan awan dan bersembunyi di dalam mangkuk kabus yang lembut.

Bukan itu sahaja, Changi Experience Studio juga menawarkan permainan dan tontonan tentang penerbangan bandar Singapura.

Pengalaman luar biasa dengan berbasikal

ImageNikmati percutian baharu secara percuma, di Changi Jurassic Mile, laluan berbasikal yang menghubungkan Lapangan Terbang Changi ke  East Coast Park.- FOTO Changi Airport Group

Buat pengetahuan anda, Singapura mempunyai beberapa laluan berbasikal yang unik, termasuk laluan berbasikal dalaman di Funan Mall dan Jurrasic Park di East Cost Park dan banyak lagi.

Untuk percutian kali ini, apa kata anda sekeluarga merasai pengalaman lain dari yang lain dengan  berbasikal di penyambung Lapangan Terbang Changi sepanjang 3.5 kilometer yang baru dibuka.

Bukan sahaja berbasikal, anda juga boleh meluncur, berlari, berjoging dan berjalan kaki ke Lapangan Terbang Jewel Changi dan terminal dari East Coast Park atau mana-mana Park Connector Network (PCN), dan sebaliknya.

Lebih menarik, ia juga menempatkan pameran luaran kekal terbesar di bandar ini bagi dinosaur bersaiz sebenar Changi Jurassic Mile, serta kemudahan hentian pit Hub & Spoke di mana anda boleh menyewa basikal dari GoCycling.

Selepas penat berbasikal, anda boleh menyejukkan diri dengan pancuran mandian berbayar setiap guna dan menjamu selera di Hub & Spoke Café yang menawarkan menu unik dengan kepelbagaian budaya yang berwarna-warni

Brickosaurs 

ImageJika anda melancong bersama kanak-kanak pula, jangan lepaskan peluang untuk melawat Brickosaurs di Mandai Wildlife Reserve yang pasti memberi keseronokan berganda kepada mereka.

Terdapat pelbagai jenis dinosaur ala Jurassic Park yang diperbuat daripada lebih 1.5 juta LEGO untuk membina tarikan Brickosaurs in Brickosaurs: Land Before Time.

Paling menarik, Brickosaurs: Land Before Time boleh dimasuk secara percuma bermula dari 13 November 2021 hingga 3 Mei 2022.

Hanya tambah S$15 kepada setiap tiket untuk mengakses aktiviti Explore the Brickosaurs World pada setiap hujung minggu atau cuti umum.

ImageCipta kenangan termanis anda bersama keluarga di Museum of Ice Cream - FOTO MOIC

Dibuka pada Ogos lalu, Museum of Ice Cream(MOIC) berjaya menjadi tarikan terbaharu di Singapura terutama buat 'kaki foto'.

Muzium berukuran 60,000 kaki persegi ini dengan 14 buah pameran ini berasal dari New York didedikasikan khas buat mereka yang ingin merasai pengalaman unik menikmati ais krim.

Antara pameran menarik dan unik termasuklah Taman Permainan Naga, Hutan Pisang Merah Jambu dan Kuning dan Kolam Percikan MOIC terbesar yang pernah dicipta.

Selain dari mencipta kenangan dengan keajaiban aiskrim, pengunjung juga boleh menikmati lima hidangan unik ais krim di MOIC.

Untuk maklumat lanjut mengenai MOIC, sila klik pautan di sini

Makanan sedap dengan harga berbaloi!

ImageJika berkunjung ke sesebuah negara, wajib untuk pelancong menerokai destinasi makanan popular sasaran rakyat tempatan di situ.

Di Singapura, kebanyakan masakan dan citarasa adalah sama di Malaysia, namun di sana, masakan China lebih terkenal seperti dim sum, bubur dan tart telur.

Buat peminat masakan China ala-ala di Hong Kong, jangan lupa nikmati dim sum yang lazat di The Dim Sum Place.

Hanya S$5 sepinggan, anda dapat nikmati dim sum halal daripada ladu udang,mee itik panggang serta bubur ala-ala Hong Kong dalam menu mereka. 

Ordinary Burgers

ImageTerletak di City Square Mall, Restoran Ordinary Burgers menghidangkan burger gourmet premium pada harga yang berpatutan khas buat penggemar masakan barat.

Ordinary Burgers ialah jenama tempatan yang diperakui Halal yang akan memuaskan keinginan anda daripada pilihan Daging Lembu Klasik kepada Fillet Ikan dan Cendawan Portobello.

Lebih unik, di sini juga terdapat pilihan mesra vegetarian yang menampilkan patty Impossible Foods yang terkenal.

Walaupun sekadar burger, namun burger jenama tempatan Ordinary Burgers wajib dicuba dengan perapan sos rahsia mereka yang pasti memaksimumkan rasa dalam setiap gigitan anda.

89.7 Supper Club 

ImageApabila bercakap tentang masakan tempatan lewat malam atau 24 jam, tiada tempat lain selain Medan Selera 89.7 Supper Club yang terletak di Paya Lebar, Singapura.

Medan selera ini menyajikan makanan halal sepenuhnya dengan pelbagai pilihan masakan Cina, India, Barat dan Melayu yang boleh dinikmati seisi keluarga anda.

Daripada dim sum, thosai, nasi goreng, hingga pencuci mulut, segalanya dapat dinikmati mengikut keinginan masing-masing. 

Secara jelasnya, kota singa merupakan destinasi percutian paling ideal dan berbaloi buat rakyat Malaysia kerana terdapat pelbagai tempat menarik yang boleh diakses secara percuma.

Dengan berbekalkan informasi diberikan, kami pasti anda bersedia untuk ke menikmati Singapura sepenuhnya tanpa risau isu bajet.

Jika anda ingin bercuti ke Singapura, sila layari  https://www.stb.gov.sg/content/stb/en.html untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 12:02 PM