Kota maju Hong Kong menjadi destinasi percutian yang terkenal bukan hanya kerana kemajuannya tetapi keunikan seni budaya, sejarah yang tersendiri. - FOTO Hong Kong Tourism
Kota maju Hong Kong menjadi destinasi percutian yang terkenal bukan hanya kerana kemajuannya tetapi keunikan seni budaya, sejarah yang tersendiri. - FOTO Hong Kong Tourism
Nur Amirah Abd Rani

HONG KONG adalah sebuah bandar raya yang terkenal sebagai pusat perdagangan dan perbankan dunia.

Selain itu, wilayah pentadbiran khas terbabit turut memainkan peranan penting sebagai pusat pelancongan dan seni budaya.

Kota maju itu turut menjadi destinasi percutian yang terkenal bukan hanya kerana kemajuannya tetapi keunikan seni budaya, sejarah yang tersendiri, kawasan rekreasi dengan alam semula jadi, kawasan tarikan pelancong serta pusat membeli-belah serta syurga makanan.

1. Seni dan budaya

Berita baik buat pencinta seni, Muzium Istana Hong Kong (HKPM) sudah dibuka kepada orang awam pada Julai lalu.

Muzium itu mempamerkan lebih 900 khazanah tidak ternilai daripada Muzium Istana yang dipamerkan di Hong Kong buat kali pertama.

Muzium terbabit juga mengadakan mempersembahkan pameran khas yang menggabungkan perspektif Hong Kong dengan visi global untuk mempersembahkan artifak berharga daripada Muzium Istana dan institusi kebudayaan penting lain di seluruh dunia.

Selain itu, M+ sebuah muzium budaya visual moden dan kontemporari terbesar di dunia turut dibuka pada November tahun lalu.

Muzium itu merupakan antara muzium yang mempamerkan budaya visual abad ke-20 dan ke-21 yang merangkumi imej bergerak, seni visual, reka bentuk dan seni bina.

Bangunan M+ memaparkan 33 galeri dan ruang paparan dan terletak di pinggir selatan Kowloon yang menghadap ke Pelabuhan Victoria, bangunan M+ dilengkapi dengan LED besar boleh dilihat dari seberang pelabuhan.

Ia antara mercu tanda Hong Kong yang paling ikonik dan mempunyai reka bentuk monumental dalam seni bina dan landskap bandar.

Selain tarikan seni dan budaya, pengunjung juga boleh membeli-belah dan menjamu selera serta menikmati pemandangan menakjubkan berlatarkan langit Hong Kong di Roof Garden.

2. Membeli-belah dan menjamu selera

Setiap kali melancong, membeli-belah dan menjamu selera pasti menjadi aktiviti utama dalam jadual perjalanan.

Bagi pelancong, anda boleh menjejakkan kaki ke Central Market iaitu pasar basah moden pertama Hong Kong dan bangunan bersejarah gred III.

Dibuka pada 1842, bangunan itu berfungsi sepenuhnya selama lebih enam dekad sebelum kerajaan tempatan menyerahkan tapak mercu tanda itu kepada Pihak Berkuasa Pembaharuan Bandar (URA) bertujuan mengaktifkan semula kawasan itu.

Dibuka kepada orang ramai pada Ogos 2021, Central Market diubah menjadi kawasan tumpuan komuniti dengan 255 gerai pasar dibina semula dengan konsep ruang tanpa sempadan atau kedai terbuka, setinggi dua tingkat.

Bangunan itu menempatkan gerai makanan dan ruang latihan membina komuniti di mana aktiviti utama di sini, adalah mempamerkan seni tempatan dan perniagaan kecil dalam industri makanan dan minuman.

Selain itu, pelancong juga tidak boleh melepaskan peluang untuk melawat K11 Musea iaitu destinasi popular terkenal untuk membeli belah sebagai pusat Victoria Dockside.

K11 Musea menempatkan 250 jenama, restoran, fesyen dan kecantikan terkenal di peringkat antarabangsa termasuk kedai reka bentuk MoMA terbesar di Asia.

Menjadi pusat beli-belah yang mempromosikan budaya dan seni K11 Musea menawarkan lebih daripada pengalaman membeli-belah.

Sambil membeli-belah, pelancong juga boleh menerokai lawatan ke taman tema Nature Discovery Park bertemakan kelestarian di LEGOLAND® Discovery Centre Hong Kong dan galeri seni.

3. Tarikan taman tema

Melancong tanpa destinasi taman tema seperti tidak lengkap, oleh itu pelancong juga boleh meluangkan masa bersama keluarga di LEGOLAND® Discovery Centre Hong Kong yang menampilkan 10 kawasan permainan bertema LEGO® yang menarik sesuai untuk keluarga dan kanak-kanak.

Ciri unik utama adalah MINILAND® Hong Kong iaitu replika LEGO® mini bangunan dan mercu tanda Hong Kong.

Selain itu, pelancong turut boleh meneroka Castle of Magical Dreams Hong Kong yang baharu di Disneyland.

Istana itu sudah melalui pengubahsuaian dan diilhamkan oleh cerita daripada 13 Puteri dan Permaisuri Disney.

Seni bina istana ini merangkumi ciri-ciri setiap heroin melalui tafsiran warna, ikon, corak dan ciri budaya, dengan menara yang direka khas untuk kisah masing-masing.

Selain istana baharu, Hong Kong Disneyland juga memperkenalkan kisah 'Momentous', yang mana The Castle of Magical Dreams menjadi kanvas, disinari teknologi pemetaan unjuran berskala besar yang menyerlahkan dan mengubah ciri-ciri istana semasa naratif disampaikan.

Pertunjukan cahaya yang bersejarah daripada cerita Disney Animation dan Pixar termasuk Dumbo, The Lion King, Peter Pan, Frozen, Zootopia, Coco, Up, Tangled dan banyak lagi!

4. Taman rekreasi dan riadah

Tidak ketinggalan, bagi pelancong yang ingin beriadah sambil menikmati alam semula jadi boleh melakukan aktiviti berbasikal di trek berbasikal 'SuperBike Track' Wilayah Baru sejauh 60 kilometer yang menghubungkan Tuen Mun dan Ma On Shan.

Penunggang basikal akan berbasikal selama enam jam dan dapat menikmati keindahan ekologi tanah lembap, taman dan gunung yang menawarkan pelbagai sejarah budaya apabila trek berbasikal melalui kuil purba dan monumen bersejarah.

Terletak bersebelahan daerah Yantian di Shenzhen, Jeti Sha Tau Kok pernah menjadi sempadan kawasan tertutup yang memerlukan permit dan jaminan daripada penduduk tempatan untuk melawat.

Ia dibuka semula secara beransur-ansur kepada kumpulan pelancong tempatan yang berdaftar pada Jun lalu.

Dibina pada 1960-an, pelancong boleh menaiki feri untuk menerokai Lai Chi Wo, Kat O dan Ap Chau sepanjang jeti berkenaan.

Hanya mengambil masa 30 minit perjalanan, Pulai Kat O dan Ap Chau adalah sebahagian daripada Taman Geopark Global UNESCO Hong Kong.

Kedua-dua pulau ini mempunyai bilik informasi buat pelancong untuk mendapatkan fakta sejarah dan ciri geografi kawasan itu.

Kenali pengembaraan baru Hong Kong! 

Untuk maklumat lanjut, layari Discover Hong Kong. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 5:15 PM